Bersatu, PAS bertanding guna logo PN di PRN Johor


  • Politik
  • Sabtu, 29 Jan 2022

MUHYIDDIN (kanan) dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada sidang akhbar di Hotel Glenmarie pada Sabtu. — The Star

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PAS akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menggunakan logo Perikatan Nasional (PN).

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media sempena Muzakarah PAS-Bersatu di Hotel Glenmarie, Shah Alam pada Sabtu.

Beliau berkata, kesemua parti komponen juga akan menggunakan logo PN pada pilihan raya itu selain mengambil maklum mengenai keputusan PRN Melaka sebelum ini untuk menghadapi PRN Johor.

"Kami ambil maklum apa yang berlaku dalam PRN Melaka, sudah tentu Johor negeri yang lebih besar, jumlah pengundinya lebih banyak, Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih besar dan kami melihat keputusan Melaka untuk meletakkan strategi yang lebih sesuai,” katanya.

Berhubung agihan kerusi parti komponen PN, Muhyiddin berkata, ia akan diputuskan sehari dua hari lagi.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, PN juga akan membuat keputusan dalam tempoh terdekat sama ada bertanding di kesemua 56 kerusi DUN Johor, selain akan memperhalusi calon yang akan mewakili PN pada PRN berkenaan.

"Apa yang penting hasrat kita bertanding adalah untuk mendapatkan sokongan dan mandat rakyat Johor membentuk Kerajaan PN di peringkat negeri,” katanya.

Mengenai muzakarah selama dua hari itu yang bermula Jumaat, Muhyiddin berkata, ia merupakan detik bersejarah bagi PAS dan Bersatu yang dapat duduk semeja bagi mengupas banyak perkara mengenai hala tuju PN.

Sementara itu, ketika membacakan resolusi muzakarah berkenaan, Muhyiddin berkata, antara resolusi berkenaan ialah PAS dan Bersatu beriltizam ke arah mewujudkan kestabilan politik dalam negara serta bersetuju mendukung 'prinsip bersama' di atas nilai integriti, kejujuran dan kestabilan dan perpaduan yang inklusif.

Katanya Bersatu dan PAS juga bersetuju untuk menuju 'visi dan hala tuju bersama' ke arah mengukuhkan PN, menolak budaya politik ekstrem dan menawarkan penyelesaian bagi memulihkan negara.

Muhyiddin berkata, PAS dan Bersatu turut bersetuju memperhalusi strategi dan pendekatan bagi mengukuhkan ummah dan nasional merentasi platform bukan politik berteraskan nilai kepercayaan bersama.

Katanya, PAS dan Bersatu juga menegaskan bahawa sokongan mereka dalam Kerajaan Persekutuan adalah bersyarat, perlu dihormati dan dirundingi di atas nilai integriti, antirasuah dan berkebajikan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram