PRN Johor medan ujian pengundi muda


  • Politik
  • Sabtu, 29 Jan 2022

TERDAPAT penambahan 749,731 pengundi berusia 18 tahun ke atas di Johor susulan pendaftaran automatik Undi18. — Gambar hiasan

KEPUTUSAN Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak boleh diperlekehkan dan perlu dilihat sebagai medan ujian dalam menentukan kehendak golongan pengundi muda.

Ketua Umno Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, sebagai sebuah negara demokrasi, semua pihak termasuk Muda yang sudah berdaftar secara sah, harus diberikan peluang bertanding untuk menguji kebolehan mereka.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, bagi Umno, parti itu akan turut membuka lebih banyak peluang kepada calon orang muda, yang akan digabungkan dengan pemimpin berpengalaman luas dalam landskap politik, sekali gus mengambil contoh kejayaan PRN sebelum ini sebagai panduan.

"Orang muda akan diberi peluang seluasnya dan Umno adalah parti yang sentiasa memberi peluang kepada orang muda.

"Saya sendiri jadi calon ketika berumur 28 tahun. Kita harus mengalu-alukan penyertaan (Muda), kerana kalau tidak dia hanya ‘berbunyi’ tetapi tidak diberi peluang untuk menguji kehadiran mereka sebagai sebuah parti politik berdaftar.

"Kita tidak harus perlekehkan sesiapa (yang bertanding) hatta calon bebas yang menawarkan diri,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis minum petang bersama Umno Bahagian Bakri di Dewan Seri Pekembar, Pagoh pada Sabtu.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata demikian ketika ditanya mengenai keputusan parti Muda untuk menyertai PRN Johor, sekali gus menyaksikan penyertaan pertama parti itu dalam pilihan raya.

Terdahulu, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengesahkan parti itu akan bertanding pada PRN Johor.

Untuk rekod, jumlah pengundi di Johor mencatatkan peningkatan kira-kira 28 peratus dengan penambahan 749,731 pengundi berusia 18 tahun ke atas, susulan pendaftaran automatik Undi18, sekali gus menjadi cabaran kepada parti-parti politik yang bertanding.

Dalam perkembangan lain, Annuar berkata Umno dan Barisan Nasional (BN) perlu menganggap setiap pilihan raya itu termasuk PRN Johor penting dan mustahak, kerana selagi rakyat belum membuat keputusan dalam peti undi adalah tidak elok bersikap terlalu yakin.

"Kita perlu buat penampilan, manifesto, gerak kerja yang baik dengan izin ALLAH, terbuka pintu hati para pengundi untuk beri kepercayaan, kita akan menang. Kita dah lalu banyak pilihan raya, sudah pernah tewas dalam pilihan raya.

"Kita tidak boleh takbur, sombong, overconfident. Kita mesti tunjuk kita parti yang bertanggungjawab, ikhlas hendak membentuk kerajaan yang stabil di Johor,” katanya.

Mengenai calon Umno dan BN pada PRN Johor, Annuar yakin parti itu akan menampilkan adunan calon yang seimbang dengan gandingan calon muda dan calon berpengalaman. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram