Bersatu Pahang sedia bantu parti raih lebih banyak kerusi di Johor


  • Politik
  • Jumaat, 28 Jan 2022

MENTERI Luar itu berkata, kesemua 14 bahagian Bersatu di Pahang hanya menunggu arahan untuk ke Johor, dengan disertai sayap Armada, Srikandi dan sayap bersekutu dalam misi mempertahankan kerusi dan menambah kerusi untuk dimenangi.

PARTI Bersatu Pahang bersedia untuk membantu parti itu memenangi lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, perkara itu telah diputuskan setelah pihaknya bermesyuarat pada 22 Januari lepas, disusuli dengan satu lagi mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Kebangsaan yang diadakan tiga hari kemudiannya.

Menteri Luar itu berkata, kesemua 14 bahagian Bersatu di Pahang hanya menunggu arahan untuk ke Johor, dengan disertai sayap Armada, Srikandi dan sayap bersekutu dalam misi mempertahankan kerusi dan menambah kerusi untuk dimenangi.

"Kita bukan sahaja akan berusaha keras, tetapi pilihan raya kali ini dianggap luar biasa penting kerana Pengerusi Bersatu Johor ialah Presiden Bersatu sendiri iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin. Sudah semestinya kita perlu menunjukkan prestasi yang baik iaitu lebih baik berbanding pilihan raya di Melaka,” katanya.

Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan dan mengedarkan angpau kepada warga emas di Pusat Gabungan Persatuan Tiong Hua sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Jalan Bukit Ubi di Kuantan, Pahang pada Jumaat.

Sabtu lepas Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor untuk memberi laluan kepada PRN Johor.

Kerajaan Negeri Johor sebelum ini diterajui Barisan Nasional (BN) dengan 28 kerusi merangkumi Umno (14 kerusi) dan MIC (dua) serta disokong Bersatu (11) dan Pas (satu) manakala Pakatan Harapan dengan 27 kerusi iaitu DAP (14), PKR (tujuh) dan Amanah (enam). — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Pahang, Bersatu, Saifuddin Abdullah, Johor, PRN