Muda buat penampilan sulung di PRN Johor


  • Politik
  • Sabtu, 29 Jan 2022

MUDA telah didaftarkan secara rasmi oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) pada 23 Disember 2021. — ART CHEN/The Star

PILIHAN raya negeri (PRN) Johor bakal menjadi ujian sulung bagi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) apabila akan turut mengambil bahagian untuk bertanding.

Perkara itu disahkan presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Muar dalam satu hantaran Facebook pada Jumaat.

"Muda secara rasminya akan bertanding dalam PRN Johor 2022. Johor adalah permulaan bagi Muda. Muda adalah perubahan bagi Johor.

"Jadi, marilah kita bersama-sama membina Johor yang bersatu padu dan sejahtera. Mari Bersama Muda,” katanya.

Syed Saddiq yang juga pengasas Muda sebelum ini dilaporkan mengumumkan parti itu telah didaftarkan secara rasmi oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) pada 23 Disember 2021.

Pada 25 Januari lalu, Pengerusi Muda Johor, Mohd Azrol Ab Rahani dilaporkan berkata, Syed Saddiq mungkin bertanding pada PRN Johor selain mempunyai kelebihan kerana berasal dari negeri itu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Syed Saddiq yang merupakan calon Pakatan Harapan (PH) daripada Bersatu bertanding atas tiket PKR, menewaskan penyandang kerusi Parlimen Muar, Datuk Seri Razali Ibrahim (BN) dan calon PAS, Abdul Aziz Talib dengan majoriti 6,953 undi.

Jumlah pengundi di Johor mencatatkan peningkatan kira-kira 28 peratus dengan penambahan 749,731 pengundi berusia 18 tahun ke atas susulan pendaftaran automatik Undi18, sekali gus menjadi cabaran kepada parti-parti politik yang bertanding. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram