JUARA Liga Super, Johor Darul Takzim dilaporkan sedang sibuk berbelanja untuk memperkuat pasukan bagi menghadapi saingan musim baharu.
Selepas kehilangan penyerang Argentina, Gonzalo Cabrera yang dilepaskan Disember lalu, kelab dilaporkan sudah bersetuju untuk mengikat seorang bekas pemain Serie A.
Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam hantaran balas Twitter mengakui baginda sememangnya meminati pemain daripada liga tersebut.
“Saya suka Serie A,” ciapnya pada Khamis.
Ciapan TMJ pada Khamis.
Ciapan itu adalah balasan kepada satu hantaran Twitter yang mendedahkan bahawa seorang bekas pemain Serie A dilaporkan sudah sah menyertai Harimau Selatan.
Menurut sumber, nama yang dikaitkan dengan kelab Selatan tanah air itu adalah penyerang yang berasal dari Sepanyol, Iago Falque yang sebelum ini beraksi bersama Torino FC.
Pemain berusia 32 tahun berkenaan dilepaskan oleh kelab Serie A itu pada musim panas lalu dan kini merupakan ejen bebas.
Beliau menjaringkan 32 gol serta 21 bantuan gol sejak bersama Torino pada 2016.
Sebelum dilepaskan, Falque dipinjamkan ke dua kelab Serie A lain, iaitu Genoa dan Benevento.
Selain Serie A, pemain yang memulakan karier remajanya di Real Madrid itu pernah beraksi di Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Sepanyol.
Pemain itu juga merupakan rakan kepada pemain tengah JDT, Natxo Insa ketika kedua-duanya beraksi untuk Villareal B. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram