TMJ anggap Teong Kim tak cukup layak


  • Podium
  • Khamis, 27 Jan 2022

BAGI TMJ permintaan gaji Teong Kim yang hanya berpengalaman melatih skuad pembangunan adalah tidak munasabah.

TUNKU Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim berpendapat bekas pemain kebangsaan yang juga bekas Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Lim Teong Kim tidak mempunyai kelayakan yang cukup untuk dilantik sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan.

Malah bagi TMJ, permintaan gaji Teong Kim yang hanya berpengalaman melatih skuad pembangunan adalah tidak munasabah dan beliau juga mendedahkan sebab tidak pernah mencadangkan Teong Kim untuk membimbing pasukan senior kebangsaan mahupun pasukan pembangunan.

"Pernah tidak dia jadi jurulatih pasukan senior? Ya, kalau pembangunan boleh tapi gaji dia berapa? Masa dia nak minta kerja dengan saya, dia minta dalam 70 hingga 80 ribu Euro sebulan (RM330,000 - RM380,000).

"Lepas itu, dia nak bawa dua atau tiga orang dalam pasukan dia sebagai pembantu. Takkan saya nak bayar macam begitu. Saya punya pemain, jurulatih saya pun tidak dibayar sebegitu tinggi. Bagi saya jumlah itu terlampau banyak," katanya ketika ditemu bual Astro Arena pada Khamis.

Bagi TMJ, beliau tidak salahkan Teong Kim yang meminta angka begitu kerana hak semua orang untuk meminta sesuatu namun baginya perkara itu tidak munasabah.

"Kalau awak nak dia jadi jurulatih skuad senior kebangsaan, soalaan saya pernah tidak dia jadi jurulatih mana-mana skuad senior? Tidak pernah kan, habis macam mana nak lantik dia sebagai jurulatih skuad senior kebangsaan.

"Kalau nak buat pembangunan boleh, tapi kalau dia betul sayangkan Malaysia, suruhlah datang jadi jurulatih pembangunan dengan gaji RM20,000 atau RM30,000 sebulan," kata Tunku Ismail.

Saat ditanya oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam dalam siaran langsung pada Khamis, mengenai jumlah gaji yang diminta sesuai dengan pengalaman Teong Kim yang bekerja bersama Akademi Bayern Munich, Tunku Ismail menegaskan Teong Kim hanya penolong jurulatih skuad B-19 di Jerman.

"Pergilah tanya Bayern, tidak silap dia penolong jurulatih skuad B-19. Buat temu bual dengan scouting sistem pembangunan di sana.

"Sebab tu saya cakap untuk memberi cadangan tu memang senang tapi kena buat penilaian berdasarkan fakta. Beri cadangan dan nilai betul-betul," kata TMJ. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram