'Tindakan FAM ibarat perjudi nasib negara'


  • Podium
  • Jumaat, 28 Jan 2022

SKUAD B23 negara pada mulanya dicadangkan untuk bertanding pada kejohanan Piala AFF Suzuki 2020. — FAM

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak sepatutnya memperjudikan nasib skuad negara dengan melakukan perubahan di saat akhir memanggil skuad senior untuk menggantikan skuad Bawah 23 (B23) beraksi di kejohanan Piala AFF Suzuki 2020 baru-baru ini.

Penganalisis sukan, Dr Pekan Ramli berkata, tindakan itu seolah-olah mahu menebus aib akibat pelbagai kegagalan yang ditunjukkan sebelum ini, namun ia menunjukkan badan induk itu tidak mempunyai pendirian khusus.

"Walaupun hanya sebuah pasukan bola sepak, setiap perancangan itu perlu jelas dan konsisten.

"Saya pasti kalau awal-awal lagi FAM dah umumkan skuad B23 kendalian Brad Maloney akan menyertai Piala AFF untuk persiapan akhir Piala Asia B23, kalau gagal sekalipun netizen tidaklah terlalu teruk menghentam," katanya kepada Majoriti.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pendedahan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim bahawa skuad B23 negara pada mulanya dicadangkan untuk menggalas tanggungjawab pada kejohanan yang berlangsung di Singapura itu.

Tunku Ismail dalam satu temu bual bersama Astro Arena pada Khamis berkata, FAM bagaimanapun menukar pelannya di saat akhir dan memanggil skuad senior, menyebabkan persiapan Harimau Malaya terganggu.

Mengulas lanjut, Pekan berkata, netizen mungkin tetap akan mempersoalkan tindakan FAM menghantar skuad B23 jika keputusan sama ditonjolkan.

"Dalam konteks hebatnya media sosial hari ini, saya yakin tetap akan ada kumpulan netizen yang bising jika FAM tidak menghantar skuad senior.

"Itulah bola sepak kita... Pada ketika pihak pengurusan pasukan dihentam teruk, disiasat dan sebagainya hingga ada yang meletak jawatan, bagaimana agaknya perasaan pemain-pemain kita yang beraksi di padang dan menerima gaji puluhan ribu ringgit sebulan itu.

"Tidakkah mereka rasa bersalah?" soalnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram