Tiada siapa desak Cheng Hoe letak jawatan


  • Podium
  • Selasa, 04 Jan 2022

CHENG Hoe (kiri) mengakui beliau gagal melepasi KPI ditetapkan oleh FAM. — Facebook

TIADA siapa yang mendesak Tan Cheng Hoe untuk meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih bola sepak kebangsaan kerana ia adalah keputusannya sendiri.

Jurulatih berusia 53 tahun itu dijangka terus membimbing Harimau Malaya meskipun beraksi buruk dalam Piala Suzuki AFF 2020 tetapi beliau mengakui kelemahannya dan merasakan masa yang sesuai untuk meletakkan jawatan.

Cheng Hoe mengakui beliau tidak memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Piala AFF iaitu layak ke final.

Pada kejohanan tersebut, Malaysia hanya menduduki tangga ketiga Kumpulan B selepas kalah kepada Vietnam dan Indonesia. Dalam dua perlawanan awal, Malaysia tidak berdepan masalah menundukkan Kemboja dan Laos.

"Saya membuat keputusan ini sendiri. Alasannya mudah, saya tidak mencapai sasaran ditetapkan. Selepas Hari Natal, saya membuat keputusan untuk meninggalkan jawatan ini.

"Saya percaya pasukan negara memerlukan semangat baharu. Anda boleh lihat keadaan tidak berjalan dengan baik.

"Saya bertanggungjawab sepenuhnya atas apa jua yang berlaku.

"Saya percaya jurulatih baharu kelak boleh melakarkan masa depan yang lebih baik untuk negara. Mungkin ada seseorang yang benar-benar boleh membawa pasukan ini memenangi banyak kejuaraan, saya doakan yang terbaik untuk dia," jelas Cheng Hoe.

Tambahnya, ia adalah satu penghormatan dapat membimbing pasukan kebangsaan selama empat tahun.

"Tidak semua orang mendapat peluang sebegitu. Saya berterima kasih atas sokongan daripada pihak pengurusan dan pemain.

"Tidak lupa juga, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang memainkan peranan penting membawa saya dalam pasukan kebangsaan.

"Beliau banyak memberi sokongan dan motivasi untuk memikul tugas besar ini," katanya.

Ketika ditanya tentang rancangan masa depannya, Cheng Hoe berkata: "Saya mahu berehat dan bersama orang tersayang. Saya hanya mahu meluangkan masa bersama mereka.

"Tetapi saya tidak boleh berehat lama. Tidak boleh duduk di rumah sepanjang masa, saya perlukan pekerjaan. Saya pasti akan kembali."

Selain itu, Cheng Hoe juga memberi beberapa nasihat kepada para pemain tempatan.

"Harapan lebih tinggi sekarang. Bagi mereka yang mengimpikan untuk mewakili pasukan kebangsaan, bawa pasukan ini ke peringkat seterusnya.

"Teruskan bekerja keras setiap hari dan sentiasa ingat bahawa apabila anda menjadi sebahagian daripada pasukan, lakukan sesuatu yang berbeza, lakukan sesuatu untuk membanggakan negara.

"Buktikan kita boleh menjadi salah sebuah pasukan terkuat di Asia. Tanamkan itu dalam fikiran anda setiap masa," menurutnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram