Mayat wanita ditemui dalam timbunan sampah di Shah Alam


  • 112
  • Khamis, 27 Jan 2022

MANGSA dipercayai meninggal dunia sekitar tujuh hari lalu. — The Star

POLIS membuka satu kertas siasatan susulan penemuan mayat seorang wanita di dalam timbunan sampah, dekat Sungai Kandis, Shah Alam, Selangor.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, mayat tersebut ditemui kira-kira jam 10.40 pagi pada Selasa dan pihaknya percaya mangsa meninggal dunia sekitar tujuh hari lalu.

"Tiada kecederaan di luar badan mangsa dan kami mengklasifikasikan perkara itu sebagai kes bunuh, yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, kaum mangsa masih belum dapat dikenal pasti, namun hasil siasatan mendapati ketinggiannya adalah 150 sentimeter.

Katanya, mangsa memakai baju tanpa lengan berwarna hitam serta terdapat cincin dengan batu merah di jari manisnya.

Polis percaya, seluar berwarna merah Maroon miliknya digunakan untuk mengikat tangan mangsa.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Asistan Superintendan Shazrin di talian 03 5520 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

sampah, mayat, wanita, Shah Alam, Sungai Kandis