MAYAT lelaki dipercayai mangsa insiden bot karam di Teluk Ramunia, Pengerang, di Kota Tinggi, Johor, tiga hari lepas, ditemukan kira-kira lima batu nautika barat daya Pangkalan Tentera Laut Changi, Singapura, tengah hari Sabtu.
Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru telah dimaklumkan oleh pihak berkuasa Singapura mengenai penemuan mayat itu, yang dipercayai hanyut sejauh 17.7 batu nautika dari lokasi bot itu terbalik.
"Berdasarkan dokumen pengenalan diri yang dijumpai, ia didapati mayat lelaki warga Indonesia berusia 39 tahun, yang dipercayai salah seorang daripada tiga mangsa kejadian bot karam itu pada 20 Januari lepas.
“Operasi Mencari dan Menyelamat yang memasuki hari keempat diteruskan dengan sektor pencarian di laut merangkumi keluasan 54 batu nautika persegi, dan pencarian di pesisir pantai sepanjang 20 kilometer," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, operasi itu membabitkan seramai 76 pegawai dan anggota dari pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta komuniti maritim.
Dalam insiden pada 4.50 pagi Khamis lepas, sebuah bot kayu yang membawa 27 pendatang asing tanpa izin dari Tanjung Tondang, Pulau Bintan, Indonesia, karam, kira-kira satu batu nautika dari Teluk Ramunia, Pengerang, dan lima wanita warga Indonesia ditemukan lemas manakala 19 orang terdiri daripada 10 wanita dan sembilan lelaki, selamat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram