Simon Dembab Maja meninggal dunia


  • Politik
  • Ahad, 23 Jan 2022

Simon meninggalkan isteri, Datin Rosalind, tiga anak, tiga cucu dan dua cicit. — The Star

BEKAS Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Simon Dembab Maja, 85, meninggal dunia pada Sabtu di sebuah pusat perubatan swasta di Kuching.

Simon, ahli pengasas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) meninggalkan isteri, Datin Rosalind Sitie Jemeni, tiga anak, tiga cucu dan dua cicit.

Anak lelakinya, Jimmy Maja berkata, Simon memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri pada 1970 di bawah Kerajaan Gabungan Sarawak.

“Kerajaan ketika itu dikenali sebagai Kerajaan Gabungan Sarawak, yang dianggotai Parti Bumiputera, Parti Pesaka dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP). Ia adalah kerajaan secara langsung yang pertama di negeri ini," kata Jimmy.

Jimmy berkata, bapanya pertama kali bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak pada 1970 ketika beliau menjadi ahli Parti Pesaka.

Parti Pesaka kemudiannya bergabung dengan Parti Bumiputera dan kini dikenali sebagai PBB.

"Beliau merupakan antara ahli terawal PBB. Pada 1972, beliau telah ditempatkan di Sydney, Australia sebagai konsulat pelajar di Kedutaan Malaysia di sana," tambahnya.

Keluarga Simon berasal dari Engkilili. Beliau mendapat pendidikan di Sekolah Chung Hua, Kuching pada 1950-an dan kemudiannya di Sekolah St Thomas.

Jimmy berkata, bapanya fasih berbahasa Mandarin kerana pernah belajar di sekolah Cina sebelum melanjutkan pelajaran di universiti.

Mendiang Simon juga fasih dalam dialek Cina seperti Hakka, Hokkien dan Teochew.

Jimmy berkata, sebelum menyertai politik, Simon merupakan pegawai hal ehwal sekolah di Majlis Daerah Engkilili.

Upacara penghormatan terakhir akan berlangsung di kediaman keluarga di Tabuan Jaya pada Isnin.

Selepas itu, mayat akan dibawa ke Engkilili bagi meneruskan upacara pengebumian. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram