Wanita maut dihempap lori simen di Kota Bharu


  • 112
  • Sabtu, 22 Jan 2022

KEADAAN kereta mangsa yang dihempap lori simen di Sri Cemerlang di Kota Bharu, Kelantan pada Sabtu. — Facebook

SEORANG wanita mualaf maut selepas kereta jenis Perodua Kelisa dipandu dihempap sebuah lori simen yang hilang kawalan kerana kegagalan fungsi brek di persimpangan lampu isyarat berhadapan sebuah hotel di Sri Cemerlang di Kota Bharu, Kelantan pada Sabtu.

Mangsa, Roslina Anat Lat, 47, beralamat di Taman Semasa Bandar Baru Pasir Mas meninggal dunia di lokasi kejadian yang berlaku pada jam 4.30 petang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd Suhaimi Ali berkata, pemeriksaan awal mangsa mengalami cedera pada bahagian dada dan kakinya tersepit.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa pemandu lori iaitu seorang lelaki yang berusia 49 tahun memandu dari arah Pengkalan Chepa hendak menghala ke Jalan Sri Cemerlang, Kota Bharu, Kelantan.

“Apabila sampai di tempat kejadian secara tiba-tiba didapati brek lori itu tidak berfungsi dan untuk mengelak terlanggar kenderaan di hadapannya, pemandu lori mengambil keputusan membelok ke kiri serta masuk ke jalan Seri Cemerlang menghala ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

“Semasa membelok ke kiri, lori itu terbalik lalu menghempap dua kereta yang sedang berhenti di lampu isyarat di arah bertentangan,” katanya pada Sabtu.

Mengulas lanjut, akibat kemalangan itu, mangsa yang berada dalam kereta tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi pemandu dalam kereta jenis Honda Civic di belakangnya tidak cedera.

“Ujian urin yang dijalankan terhadap pemandu lori lelaki tersebut didapati negatif dadah dan lesen memandu aktif serta dibebaskan selepas selesai diambil keterangan.

“Punca kemalangan dipercayai akibat kecuaian pemandu lori untuk memastikan kenderaannya selamat dikendalikan iaitu kegagalan fungsi brek sehingga gagal dikawal dan terbalik lalu menghempap dua kereta yang sedang menunggu di lampu isyarat berwarna merah,” katanya.

Tambah beliau, mayat mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat pada malam Sabtu.

“Siasatan kes diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram