Tiga maut dua kereta terbabas di Kuantan


  • 112
  • Isnin, 24 Jan 2022

SALAH sebuah kereta yang mengalami kemalangan di Jalan Kuantan-Maran berhampiran pusingan U Batu 3 Tanah Putih, di Kuantan, Pahang pada Ahad. — Facebook

TIGA individu maut manakala empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Kuantan-Maran berhampiran pusingan U Batu 3 Tanah Putih, di Kuantan, Pahang pada Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Supritendan Kamarulzaman Jusoh berkata, kemalangan pada kira-kira 11.30 malam itu mengakibatkan pemandu kereta jenis Proton Iswara, Adzarul Fadzlie Ahmad Roki, 33, meninggal dunia akibat terbakar di seluruh badan.

Jelasnya, mangsa yang turut maut adalah penumpang hadapan kereta jenis Proton Saga, Azura Iskandar Mohamad, 32, dan anak perempuannya, Nur Izara Al Aishah Mohd Fairus, 5, akibat kecederaan di kepala.

"Ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan," katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.

Tambah Kamarulzaman, suami Azura iaitu Mohd Fairus Md Yusof, 40, dan tiga lagi anak mereka iaitu Mohamad Al Hafiz Ikram,11, Nurul Al Aziana Ashikin, 10, dan Mohamad Al Alif Ikmal, 9, yang cedera di kepala, kaki dan tangan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang untuk rawatan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati Adzarul Fadzlie yang merupakan pekerja kilang, hilang kawalan ke atas keretanya yang sedang dipandu dari arah Gambang menghala Kuantan lalu bergesel dengan Proton Saga dipandu Mohd Fairus yang berada di sebelah kiri jalan.

Ujarnya, akibat pelanggaran itu, kedua-dua kenderaan tersebut terbabas ke bahu kiri jalan lalu menyebabkan Proton Iswara itu remuk dan terbakar.

Menurutnya lagi, kemalangan itu sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya diminta tampil membantu siasatan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, Ismail Abdul Ghani dalam satu kenyataan berkata, seramai 16 anggota dan pegawai daripada Balai Bomba Indera Mahkota, Taman Tas dan Kuantan digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada 11.34 malam.

Katanya, mayat wanita yang tersepit dikeluarkan dengan menggunakan Hydraulic Power Unit dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala kereta tersebut mengalami kebakaran 100 peratus. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram