Pakar syor dua syarat laksana GST


  • Massa
  • Selasa, 25 Jan 2022

PAKAR mengesyorkan supaya GST dikenakan ke atas barangan mewah sahaja. — Gambar hiasan/The Star

CUKAI kepenggunaan atau lebih dikenali Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) hanya boleh dilaksanakan sekiranya ia dikenakan dengan kadar yang rendah, kata Profesor Madya Dr Abu Sofian Yaacob.

Pensyarah Putra Business School Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, kadar relevan yang dikenakan hendaklah bermula dua peratus dengan kadar maksimum tiga peratus.

Beliau berkata, mana-mana negara termasuk Singapura yang melaksanakan cukai itu memulakan dengan kadar rendah dan ia dinaikkan secara berperingkat.

"Saya rasa silapnya dulu kerajaan menguar-uarkan ia dikenakan dalam empat peratus. Tetapi, bila dilaksanakan ia menjadi enam peratus. Tinggi kadarnya.

"Sepatutnya mula dengan kadar yang rendah. Bila ekonomi sudah stabil dan berkembang maka boleh naikkan kadarnya dan tiada masalah," katanya kepada Majoriti.

21-OGOS-2021-Dr-Abu-Sofian (1)

ABU Sofian mencadangkan hanya sebanyak tiga peratus kadar maksimum GST sekiranya ia dilaksanakan kelak. — Facebook

Abu Sofian berkata, syarat lain untuk melaksanakan GST termasuk dengan hanya mengenakan cukai itu ke atas barangan mewah dan jarang digunakan oleh rakyat biasa.

"Untuk barangan keperluan dan barangan harian tak perlu dikenakan GST," katanya lagi.

Mengulas lanjut, Abu Sofian turut mencadangkan supaya sistem GST perlu diperbaiki dengan lebih efisien sebelum ia diperkenalkan semula.

Beliau berkata, hanya para pengguna yang terkesan apabila cukai itu dilaksanakan kerana pengeluar dan pemborong boleh menuntut semula wang mereka.

"Tetapi sistem mesti diperbaiki kerana peniaga boleh claim (tuntut) semula dengan lebih cepat," katanya.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz pada Ahad memberi bayangan bahawa pelaksanaan GST berkemungkinan bakal diperkenalkan semula bagi membendung masalah ketirisan cukai.

Tengku Zafrul berkata, sekiranya dilihat perbandingan antara GST dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), secara teorinya hasil kutipan lebih kurang sama, cuma dari segi praktikal GST lebih efisien kerana penipuan cukai sukar dilakukan.

Beliau turut mendedahkan hasil kerajaan merosot sebanyak RM20 bilion apabila SST kembali diperkenalkan, walaupun harga barangan kesan pengenalan semula SST adalah sama dengan GST.

"Isunya banyak ketirisan berlaku apabila SST kembali diperkenalkan sehingga menyebabkan kerajaan susah untuk mengesan mereka yang cuba lari daripada cukai.

"Itu sebabnya kita kena pertimbangkan cukai kepenggunaan (GST) semula kerana negara lain sudah buat," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pakar ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, SST yang dilaksanakan ketika ini merupakan sistem lama berasaskan cukai ke atas pengilang.

Justeru, beliau mengesyorkan supaya ia diubah melalui kaedah kutipan ke atas perniagaan runcit sahaja.

"Tapi yang penting cara kadar kutipan cukai itu adalah melalui peruncit dan bukannya pengilang dan ini akan menjadikan sistem cukai lebih cekap," katanya yang turut menyarankan kadar cukai tersebut diturunkan kepada tiga peratus berbanding enam peratus ketika ini.

Prof.-Barjoyai (2)

BARJOYAI mengesyorkan kutipan cukai SST perlu dikenakan ke atas perniagaan runcit sahaja. — UKM

Dakwanya lagi, kaedah itu tidak akan membebankan rakyat kerana pelaksanaannya ketika ini membuatkan pengguna seolah-olah tidak membayar cukai, disebabkan ia dikutip di kilang sebelum pemborong dan peruncit menaikkan harga barangan.

"Kalau di dalam GST, pengilang dan pemborong tiada cukai tetapi peruncit yang akan mengutip cukai. Jadi, asalkan kadarnya lebih rendah daripada sekarang, ia sebenarnya akan dapat tolong pengguna menurunkan harga," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram