Industri vape akan terjejas jika cukai terlalu tinggi — Persatuan


  • Massa
  • Jumaat, 07 Jan 2022

KADAR cukai yang tinggi ini boleh membawa kepada pertumbuhan pasaran gelap cecair vape. — The Star

KADAR cukai yang tinggi bagi cecair vape akan memberi kesan kepada industri vape tempatan, kata Presiden Malaysian Vape Industry Advocacy, Rizani Zakaria.

Katanya, berdasarkan tinjauan pendapat oleh syarikat penyelidikan Green Zebras menerusi #Tax and Regulate MY Vape: Your Say, 73 peratus rakyat Malaysia berpendapat kenaikan kadar cukai eksais yang diumumkan bagi cecair vape pada RM1.20 setiap mililiter adalah terlalu tinggi.

"Tinjauan pendapat ini juga mendedahkan bahawa rakyat Malaysia percaya kadar cukai yang tinggi ini boleh membawa kepada pertumbuhan pasaran gelap (85 peratus).

"91 peratus responden berpendapat bahawa kerajaan harus menetapkan tahap cukai ke atas produk vape yang mampu menghalang pengguna daripada beralih kepada produk pasaran gelap, dan 75 peratus mengatakan bahawa cukai mesti kekal rendah untuk memastikan harga yang berdaya saing," katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

WhatsApp Image 2022-01-07 at 1.30.39 PM

RIZANI Zakaria merupakan Presiden Malaysian Vape Industry Advocacy.

Katanya lagi, kadar cukai untuk cecair vape terlalu tinggi akan menyebabkan harga bahan itu melambung tinggi.

Jelasnya kerajaan perlu mengambil kira kesan negatif apabila menggubal dasar cukai kerana ia akan memberi kesan kepada industri vape tempatan.

“Memandangkan Kastam baru-baru ini mengumumkan penangguhan dalam melaksanakan kadar eksais yang diumumkan Oktober lepas, maka keputusan daripada tinjauan pendapat ini adalah tepat pada masanya.

"Kami berharap ia memberi gambaran kepada kerajaan bahawa pendekatan yang wajar perlu diambil terutamanya berkaitan rangka kerja percukaian untuk industri dan kami menggesa kerajaan mengekalkan kadar pada RM0.40 setiap mililiter," ujarnya.

Sementara itu, tinjauan pendapat tersebut turut mendedahkan bahawa rakyat Malaysia berpandangan positif dengan kemajuan yang dicapai oleh industri vape, kerana rangka kerja percukaian seimbang boleh menjana pendapatan tambahan kepada kerajaan dan meningkatkan standard kualiti dan keselamatan produk vape.

Mereka juga mengatakan bahawa pelaksanaan rangka kerja percukaian akan membolehkan pengguna mengakses produk yang sah dan terkawal.

“Jelas sekali, kita sudah berada di landasan yang betul. Percukaian dan peraturan untuk industri adalah satu langkah ke arah yang sepatutnya bagi memastikan pengguna membeli produk yang dikawal selia dengan piawaian produk yang selamat.

"Pada masa yang sama, ia juga perlu diseimbangkan bagi memastikan produk tidak dikenakan cukai dan dikawal selia dengan cara yang sama seperti rokok kerana vape terbukti kurang memudaratkan serta mampu membantu perokok berhenti merokok," jelasnya.

Tambahnya lagi, pihaknya dimaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang bersiap-sedia untuk membentangkan undang-undang baharu di Parlimen tidak lama lagi untuk mengawal selia produk vape.

"Setakat ini belum ada sesi perbincangan antara kami dan Kerajaan mengenai peraturan dan kami menggesa Kerajaan untuk melibatkan kami dalam perbincangan sebelum membuat sebarang keputusan,” tambahnya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

vape, cukai, naik, malaysia, ekonomi, pasaran