Pihak berkuasa berhak siasat dakwaan salah laku Azam Baki


  • Primer
  • Selasa, 11 Jan 2022

ABU ZAHAR menegaskan, LPPR tiada kuasa siasat salah laku jenayah dilakukan oleh pegawai SPRM. — The Star

DAKWAAN salah laku terhadap Tan Sri Azam Baki boleh disiasat oleh pihak berkuasa, kata Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) itu berkata, beliau mahupun mana-mana ahli lembaga pengarah tidak mempunyai niat untuk menghalang penyiasatan, jika ada, terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terbabit dalam kontroversi pemilikan saham.

"Jika ada sebab untuk siasat, kita sebenarnya akan menggalakkannya atas nama menegakkan undang-undang dan menegakkan integriti SPRM," katanya pada sidang media, Selasa.

Abu Zahar menegaskan, LPPR tidak mempunyai kuasa untuk menjalankan siasatan sendiri terhadap sebarang salah laku jenayah yang dilakukan oleh pegawai SPRM.

"Walaupun kita tidak mempunyai kuasa dalam hal ini, kita tiada niat sedikit pun untuk menghalang mana-mana agensi kerajaan daripada menjalankan siasatan berhubung dakwaan salah laku Tan Sri Azam Baki," tambahnya.

Sebelum ini, timbul dakwaan terhadap Azam membabitkan pemilikan sejumlah saham dalam Gets Global Bhd, termasuk Excel Force MSC Bhd antara 2015 dan 2016, ketika beliau merupakan pengarah siasatan SPRM.

Pada 5 Januari, Abu Zahar berkata, tiada kepentingan kewangan atau konflik kepentingan di pihak Azam berhubung isu pemilikan saham dua syarikat, berikutan ketua pesuruhjaya SPRM itu tidak membeli saham tersebut, yang dilakukan oleh adiknya, Nasir.

LPPR mengadakan mesyuarat pada 24 November tahun lalu dan memanggil Azam bagi menjelaskan dakwaan tersebut.

Abu Zahar kemudian berkata, lembaga itu berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan dan mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau konflik kepentingan di pihak Azam berhubung perkara itu. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Abu Zahar, LPPR, Azam Baki, SPRM