Apa jadi dakwaan salah laku Ketua Pesuruhjaya SPRM, soal Puad


  • Politik
  • Isnin, 03 Jan 2022

AZAM Baki terpalit dengan dakwaan salah laku seperti didedahkan Terence Gomez. — Bernama

DATUK Dr Mohd Puad Zarkashi mencadangkan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diletakkan di bawah pentadbiran Parlimen.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu berkata, langkah itu akan memastikan proses semak dan imbang SPRM lebih bebas dan telus.

Justeru, katanya, pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM juga adalah prerogatif Parlimen dan bukan lagi atas perkenan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

"Ini pembaharuan institusi yang perlu diperjuangkan.

"SPRM tidak boleh terlalu kebal sehingga tidak ada kaedah yang transparen untuk bertindak jika terdapat dakwaan salah laku dalaman oleh orang atasan SPRM," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Isnin.

Beliau berkata demikian dipercayai mengulas dakwaan salah laku oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki baru-baru ini.

Mohd Puad hairan apabila isu itu pada mulanya hangat diperkatakan, namun tidak beberapa lama kemudian ia senyap serta tidak dibangkitkan oleh pemimpin di negara ini.

"Apa jadi dakwaan yang membabitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM? Seperti yang dijangkakan semua pihak senyap dan plaster (tutup) mulut. PM (Perdana Menteri) juga tidak komen apa apa.

"Akhirnya kita balik amalan lapuk. Mula mula panas kemudian tutup buku dan dilupakan. Rakyat tertunggu tunggu tanpa ada solution (penyelesaian) konkrit," katanya.

Terdahulu, dua e-mel yang dihantar Pensyarah Ekonomi, Prof Dr Edmund Terence Gomez yang baharu meletak jawatan sebagai anggota Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) adalah meminta diadakan mesyuarat bagi membincangkan usaha memulihkan imej SPRM.

Namun, Pengerusi PPPR, Tan Sri Borhan Dolah berkata, dua e-mel berkenaan yang dihantar sejak November lalu tiada langsung memperkatakan mengenai isu salah laku Azam Baki.

Dalam e-mel berkenaan, ahli ekonomi itu menyatakan kebimbangannya mengenai SPRM yang sering dihentam pelbagai pihak dan meminta mesyuarat PPPR segera dibuat bagi membincangkan cara untuk mereka menyokong agensi penguatkuasa itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram