SELURUH warga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan pendirian menyokong kepimpinan Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki.
Pendirian itu dinyatakan dalam satu memorandum sokongan yang turut disertakan bersama tiga nama iaitu Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Seri Norazlan Mohd Razali dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme), Datuk Junipah Wandi.
"Kami berpendirian bahawa tohmahan dan serangan yang dibuat adalah bermotifkan politik dendam bagi menjatuhkan imej dan kredibiliti SPRM.
"Kami menggesa agar semua pihak menghentikan kemelut ini dan membiarkan proses undang-undang berjalan secara adil, telus dan saksama," kata kenyataan itu pada Ahad.
Menurut kenyataan itu lagi, warga SPRM tetap bersatu hati dalam mempertahankan institusi Ketua Pesuruhjaya dan SPRM demi kelangsungan pencegahan rasuah di negara tercinta.
Pada Rabu lepas, Azam menafikan tuduhan beliau mempunyai kawalan ke atas banyak syarikat termasuk syarikat konglomerat, serta menyifatkannya sebagai tohmahan yang berniat jahat.
Azam dilaporkan berkata, ia merupakan satu penipuan besar untuk memberi persepsi negatif terhadapnya.
Pada Jumaat pula, polis mengesahkan menerima laporan berhubung pendedahan Azam yang membenarkan adiknya menggunakan akaun beliau bagi urusan pembelian saham.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan dalam kenyataannya malam Sabtu berkata, laporan berkenaan juga telah dirujuk kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk tindakan selanjutnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram