LPPR didesak siasat Azam Baki


  • Primer
  • Khamis, 06 Jan 2022

SALAHUDDIN (kiri) mahu LPPR menyiasat Azam.
Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) digesa supaya menjalankan siasatan lanjut terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berhubung dakwaan memiliki saham dengan jumlah yang melampau.

Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, tindakan tersebut penting bagi mengembalikan semula keyakinan orang awam terhadap SPRM.

“Saya percaya bahawa isu ini adalah berkenaan kepentingan orang ramai yang berkehendak disegerakan selari dengan peruntukan Peraturan Mesyuarat 18(1)(2) yang perlu dibahaskan di dalam dewan yang mulia, pada persidangan Parlimen, Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14 sehari selepas titah Diraja pada 1 Mac 2022.

“Ini adalah berkenaan dengan kepentingan orang ramai untuk mengembalikan keyakinan orang awam terhadap badan SPRM bagi mengekang aktiviti rasuah atau segala aktiviti yang menjerumuskan kepada pecah amanah yang mana kerajaan bertanggungjawab untuk merungkai perkara ini," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut Salahuddin, perkara ini adalah perkara tertentu berkaitan dakwaan Ketua Pesuruhjaya SPRM memiliki saham dengan jumlah melampau.

Terdahulu, Azam Baki pada Rabu menafikan tuduhan beliau mempunyai kawalan ke atas banyak syarikat termasuk syarikat konglomerat, serta menyifatkannya sebagai tohmahan yang berniat jahat.

Azam berkata, ia merupakan satu penipuan besar untuk memberi persepsi negatif terhadapnya.

"Ia digambarkan seolah-olah saya mengawal satu konglomerat yang besar di bawah saya demi untuk menjatuhkan reputasi saya sebagai KP (Ketua Pesuruhjaya) dan institusi SPRM," katanya dalam sidang media khas di Putrajaya pada Rabu berhubung beberapa dakwaan dan isu yang tular kebelakangan ini.

Tambah Azam, setelah mendapatkan nasihat peguam, beliau membuat keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang telah mencemarkan reputasi beliau dan juga SPRM. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

azam baki, sprm, saham, siasatan, lppr