SPRM perlu jawab dakwaan Terence


  • Primer
  • Selasa, 28 Dis 2021

SPRM didakwa gagal membincangkan laporan kritikal membabitkan pegawai tinggi di agensi itu. — The Star

DAKWAAN ahli ekonomi, Prof Edmund Terence Gomez bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) gagal membincangkan laporan kritikal membabitkan pegawai tinggi di agensi itu amat serius dan perlu segera dijawab oleh SPRM.

Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) berkata, Terence bagaimanapun perlu bekerjasama secara berkumpulan dalam Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) untuk menyelesaikan perkara itu dan bukannya membuka isu tersebut di khalayak awam.

Katanya, masih banyak lagi saluran yang lebih sesuai berbanding mencalarkan imej agensi yang diwakilinya.

"Persoalan sama ada kekecewaan yang dizahirkan Prof Terence kerana tiada tindakan atau mesyuarat di peringkat PPPR adalah pra-matang dan merupakan urusan pentadbiran dalaman mereka.

"Tan Sri Azam Baki sebagai seorang pegawai kanan SPRM yang amat berpengalaman pastinya tidak akan meletakkan diri beliau dalam keadaan mempunyai kepentingan yang bercanggah dengan tugasan hakiki beliau," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Terdahulu, Terence meletak jawatan sebagai ahli panel perundingan SPRM selepas mendakwa panel itu gagal membincangkan laporan-laporan yang membabitkan pegawai-pegawai tinggi di suruhanjaya berkenaan.

Gomez dalam surat letak jawatannya yang tular di media sosial berkata, timbul persoalan mengenai 'hubungan antara perniagaan dan pihak penguat kuasa' dan situasi 'konflik kepentingan' membabitkan pegawai tinggi SPRM serta dakwaan bahawa pegawai itu memiliki saham.

Menurutnya, bekas pegawai tinggi SPRM didakwa terbabit dalam situasi konflik kepentingan, sekali gus mencadangkan 'ada suatu trend di institusi itu (SPRM) yang mesti disiasat segera'. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Edmund Terence Gomez, SPRM, MCW, Azam Baki