Azam Baki: Pembangkang pertikai kenyataan Muhyiddin


  • Politik
  • Selasa, 11 Jan 2022

KES kontroversi Azam Baki menimbulkan perbalahan banyak pihak. — Bernama

PEMBANGKANG mempertikaikan kenyataan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang seolah-olah menafikan bahawa beliau yang melantik Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Muhyiddin pada Isnin berkata, pelantikan Azam pada Mac 2020 adalah mengikut peraturan.

Beliau berkata, Azam menerajui SPRM ketika beliau menjadi Perdana Menteri bagi mengisi kekosongan setelah Latheefa Koya yang meletak jawatan pada Mac 2020, dan setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Proses lantikan itu teratur mengikut peraturan. Mana-mana jawatan kerajaan terutama jawatan penting seperti itu tidak dibuat secara begitu mudah.

"Ia harus melalui satu proses dan ia diperakukan oleh sebuah jawatankuasa yang mana Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Mohd Zuki Ali) dalam kes ini mengemukakan cadangan nama, bukan saya pilih," katanya.

Membidas perkara itu, Ketua Pembangkang Perak Dr. Abdul Aziz Bari mendakwa, kenyataan Muhyiddin yang menyebut Yang di-Pertuan Agong, Ketua Setiausaha Negara dan prosedur pelantikan itu hanya untuk mengukuhkan dalilnya.

"Agak jelas bahawa Muhyiddin tidak tahu atau sengaja tidak mahu tahu apa yang tersirat di sebalik konsep bertindak mengikut nasihat, yang terkandung di bawah Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan kita.

"Peruntukan tersebut mewajibkan Perdana Menteri dan semua anggota Kabinet memikul tanggungjawab kerana mandat daripada rakyat untuk memerintah berada di tangan mereka, bukan di tangan Yang di-Pertuan Agong atau perkhidmatan awam," katanya.

Aziz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tebing Tinggi berkata, Muhyiddin dan konco-konconya sebelum ini berperi-peri mengatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak atas nasihat kerajaan, termasuk dalam beberapa isu yang ada keraguan di dalamnya.

"Tetapi sekarang dalam perkara yang jelas dan tiada keraguan di dalamnya, Muhyiddin cuba mencari helah untuk lari dari tanggungjawab.

"Semoga rakyat tidak lupa dengan pihak-pihak yang tidak bertangggungjawab seperti ini," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram