Azam Baki nafi miliki kawalan ke atas banyak syarikat


  • 112
  • Rabu, 05 Jan 2022

AZAM ketika sidang media khas di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada Rabu. — Bernama

KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki pada Rabu menafikan tuduhan beliau mempunyai kawalan ke atas banyak syarikat termasuk syarikat konglomerat, serta menyifatkannya sebagai tohmahan yang berniat jahat.

Azam berkata, ia merupakan satu penipuan besar untuk memberi persepsi negatif terhadapnya.

"Ia digambarkan seolah-olah saya mengawal satu konglomerat yang besar di bawah saya demi untuk menjatuhkan reputasi saya sebagai KP (Ketua Pesuruhjaya) dan institusi SPRM," katanya dalam sidang media khas di Putrajaya pada Rabu berhubung beberapa dakwaan dan isu yang tular kebelakangan ini.

Tambah Azam, setelah mendapatkan nasihat peguam, beliau membuat keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang telah mencemarkan reputasi beliau dan juga SPRM.

Berhubung isu saham, Azam tegas menyatakan beliau tidak melakukan sebarang kesalahan dan tiada konflik berkepentingan di pihaknya serta sudah menjelaskan perkara tersebut kepada Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR).

"Saya menjelaskan kepada LPPR bahawa akaun dagangan itu digunakan oleh adik saya untuk urus niaga sahamnya dan saya tidak mempunyai kepentingan serta tiada sebarang kepentingan dalam perkara itu.

"Saham itu dibeli di pasaran terbuka dan adik saya menggunakan duitnya sendiri untuk pembelian tersebut.

"Saham syarikat yang dibeli tidak terlibat dalam sebarang siasatan dijalankan oleh SPRM. Semua saham dipindahkan ke dalam akaun dagangan adik saya sendiri," ujarnya.

Jelas beliau, terdapat usaha beberapa pihak berkepentingan atau mempunyai agenda yang tidak baik terhadap SPRM, yang mengambil kesempatan untuk menghakis kepercayaan masyarakat terhadap SPRM dengan menjadikan Ketua Pesuruhjaya (KP) sebagai sasaran serangan bertubi-tubi.

Malahan mereka juga mengunakan beberapa pihak tertentu untuk memberi tekanan ke atas SPRM.

"Kami kenal pasti siapa dan apa agenda mereka," katanya.

Ujar Azam, apa yang mereka tulis adalah untuk menjatuhkan reputasinya dan beliau juga menyedari ia antara cabaran yang dihadapi oleh hampir semua KP SPRM.

"Dalam melaksanakan tugas, SPRM banyak membuat tangkapan sama ada orang kenamaan atau orang biasa, sudah tentu ia menimbulkan kemarahan beberapa pihak.

"Saya sudah berkhidmat selama 37 tahun, saya mungkin mempunyai ramai musuh dan berkemungkinan ramai yang tidak suka dengan saya," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

SPRM, tuduhan, nafi, syarikat, kenamaan