SEBANYAK 362,000 bungkus rokok seludup dianggarkan bernilai RM8.69 juta dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA), selepas menahan sebuah lori dipandu seorang lelaki di tepi jalan Kampung Iban, Merotai, dekat Tawau, Sabah pada malam Isnin.
Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA Tawau, Superitendan Mohd Yacob Murad berkata, pihaknya melakukan intipan menerusi Op Kontraban pada jam 10 malam dan mengesan lori dipandu lelaki berusia 37 tahun tersebut dalam keadaan mencurigakan dengan bahagian belakang lori ditutup kanvas.
"Pemeriksaan ke atas lori menemukan 604 kotak besar berisi pelbagai jenama rokok seludup yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran di negeri ini.
"Rokok yang ditemukan adalah jenama a-satu (161,600 bungkus), Tex Hijau (108,500), Tex Merah (68,000) dan Tex Biru (24,500) yang semuanya dianggarkan bernilai RM8,690,888," katanya dalam kenyataan.
Mohd Yacob berkata, pihaknya menahan pemandu lori dan merampas kenderaan itu serta satu telefon bimbit.
Katanya lelaki itu dan barang rampasan dibawa ke Balai Polis Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram