Polis dedah taktik sembunyi rokok seludup dalam kabinet


  • 112
  • Rabu, 08 Dis 2021

ANTARA rokok seludup yang dirampas dalam dua serbuan yang dilakukan polis. — Gambar ihsan polis
POLIS merampas sebanyak 38,000 kotak rokok seludup dalam dua serbuan yang dilakukan di kawasan Desa Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur dan Jalan Klang Lama, Selangor pada Selasa.

Serbuan Op Kontraban yang pertama yang dilakukan kira-kira pukul 5.30 petang berjaya menahan dua lelaki berusia 58 dan 38 tahun.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, dalam serbuan itu, pihaknya juga merampas 29,930 kotak rokok berjenama Double Happiness berwarna putih dan emas.

"Kita telah melakukan serbuan kedua yang telah dipandu arah oleh seorang lagi suspek ke sebuah lagi premis di Jalan Klang Lama kira-kira pukul 8 malam hari sama.
WhatsApp Image 2021-12-08 at 10.20.47 AM

ANTARA rokok seludup yang dirampas dan disimpan dalam perabot yang berbentuk kabinet. — Gambar Ihsan


"Hasil serbuan yang dijalankan berjaya merampas 8,070 rokok jenama M-One warna merah," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut Muhammad Idzam, jumlah keseluruhan rokok yang dirampas dianggarkan bernilai RM300,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Jelasnya, kedua-dua suspek kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk melengkapkan siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram