Sindiket seludup rokok putih RM8.7 juta tumpas di Pasir Gudang


  • 112
  • Ahad, 09 Jan 2022

SAZALI (dua dari kanan) bersama anggotanya menunjukkan rokok putih yang diseludup di Pelabuhan Pasir Gudang pada 28 Disember lalu.  — Sinar Harian

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor menumpaskan sindiket penyeludupan rokok putih dianggarkan bernilai RM8.7 juta di Pelabuhan Pasir Gudang, pada 28 Disember lalu.

Pengarahnya, Sazali Mohamad berkata, rokok putih yang dimuatkan di dalam sebuah kontena itu dikesan kira-kira jam 11.45 pagi hasil maklumat risikan Bahagian Penguatkuasaan Pasir Gudang, JKDM Johor.

"Hasil pemeriksaan ke atas kontena terbabit menemukan 7.9 juta batang rokok putih yang dipercayai diimport dari China.

"Anggaran nilai barang kes yang dirampas sebanyak RM3.2 juta dengan jumlah duti cukai sebanyak RM5.5 juta.

"Modus operandi kes adalah membuat pengikraran tidak benar dan mengelirukan iaitu dagangan sebagai kabinet di dalam borang kastam bagi mengelak daripada dikenakan cukai tinggi dan permit import," katanya pada sidang akhbar di Menara Kastam, Johor Bahru pada Ahad.

Menurut Sazali, seorang lelaki warga tempatan berusia 43 tahun dari syarikat perkapalan ditahan untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Peraturan 30(1) Peraturan-peraturan Zon Bebas (Pindaan) 2019, Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 135 (1)(a) iaitu membuat perakuan tidak betul dan membawa masuk barang tanpa permit.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang dari 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 mengikut mana-mana yang lebih besar dan tidak melebihi dua puluh kali ganda nilai barang atau RM500,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar atau penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

kastam, rokok, seludup, Sazali Mohamad, Johor