KEMENTERIAN Pertahanan (MINDEF) mengarahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalankan siasatan dalaman segera susulan dakwaan berhubung kemasukan individu tidak berkaitan serta aktiviti tidak bermoral di sebuah kem tentera hingga tular di media sosial.
Unit Komunikasi Strategik Kementerian Pertahanan dalam kenyataan berkata, siasatan itu bertujuan menentukan kesahihan dakwaan berkenaan secara menyeluruh.
"Dakwaan yang tular itu sama sekali tidak mencerminkan budaya, nilai serta amalan dalam ketenteraan yang berteraskan disiplin, profesionalisme dan pematuhan ketat terhadap prosedur keselamatan.
BACA LAGI : Gempar, prebet didakwa 'seludup' gadis seksi ke kem tentera Pengkalan Chep
BACA LAGI : [VIDEO] Hanya bermula dengan 3 kambing, anak Johor ubah ladang kecil jadi empayar tenusu
"Sekiranya dakwaan itu didapati benar, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak terlibat mengikut peraturan, prosedur dan undang-undang sedia ada," menurut kenyataan itu pada Isnin.
Kementerian turut menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau kesimpulan awal yang boleh mengelirukan masyarakat serta menjejaskan reputasi Kementerian Pertahanan dan ATM.
"Kementerian Pertahanan dan ATM komited memastikan tahap disiplin, integriti dan profesionalisme tertinggi dalam kalangan warga pertahanan, serta tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang perlakuan yang mampu menjejaskan imej dan kredibiliti institusi pertahanan negara," jelas kenyataan itu.
Terdahulu, tular di beberapa platform media sosial beberapa gambar dan rakaman video mendakwa berlaku perlakuan kurang sopan dengan etika perkhidmatan tentera.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
