KESELAMATAN di kilang dan kawasan perindustrian sentiasa menjadi aspek kritikal yang perlu diberi perhatian serius bagi memastikan kebajikan serta nyawa pekerja sentiasa dilindungi.
Pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, penyelenggaraan mesin secara berkala serta pemantauan berterusan amat penting bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Namun begitu, satu tragedi menyayat hati berlaku di sebuah kilang pemprosesan keluli di China pada Jumaat lalu apabila seorang pekerja maut dalam kemalangan di tempat kerja.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di dalam kilang berkenaan menunjukkan detik ngeri kejadian apabila sebuah mesin mekanikal yang digunakan untuk mengendalikan produk keluli dipercayai tersangkut pada struktur logam.
[KLIK GAMBAR UNTUK TONTON VIDEO]
Keadaan itu menyebabkan struktur berat berkenaan terjatuh secara tiba-tiba dan menghempap kepala mangsa ketika cuba menyelamatkan diri.
Akibat hentaman kuat tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian tanpa sempat menerima rawatan.
Kejadian berkenaan sekali lagi mencetuskan kebimbangan orang ramai terhadap tahap keselamatan dan pematuhan SOP di tempat kerja, khususnya melibatkan penggunaan mesin berat selepas video berkenaan mula tular pada Sabtu di laman X (Twitter).
Pihak berkuasa tempatan difahamkan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta memastikan langkah pencegahan dapat diambil bagi mengelakkan insiden sama berulang pada masa hadapan.
Namun begitu, setakat berita ini ditulis, tidak ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat berkenaan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram

