PERJALANAN hidup Khairun Nisa membuktikan bahawa kesilapan di masa lalu bukan penghalang untuk mengejar impian.
Wanita yang berasal dari Palembang,Indonesia sebelum ini tular kerana menyamar sebagai pramugari pada awal Januari lalu.
Namun siapa sangka, selepas kejadian tersebut, dia yang lebih dikenali sebagai Nisa kini sah menjadi pramugari Garuda Indonesia.
BACA LAGI: [VIDEO] Kemaruk nak jadi pramugari, tembelang wanita Palembang di awan biru terbongkar
BACA LAGI: [VIDEO] Kasih seorang abang, budak lelaki tak teragak-agak terjun dalam gaung selamatkan adik
Wanita berusia 23 tahun itu menarik perhatian umum selepas mengenakan seragam lengkap pramugari Batik Air, membawa bagasi rasmi syarikat penerbangan tersebut dan menggunakan kad pengenalan palsu semasa perjalanan Palembang–Jakarta.
Malah, penyamarannya itu begitu sempurna sehingga membuatkan petugas lapangan terbang menganggapnya sebagai kru tambahan sebelum identitinya terdedah.
Namun, Nisa menegaskan tindakannya bukan berniat jahat dan dia mengaku berada di bawah tekanan psikologi serta malu kepada keluarga selepas menjadi mangsa penipuan pihak tidak bertanggungjawab yang menjanjikan kelulusan ujian pramugari dengan bayaran tertentu.
Klarifikasi dan Permohonan Maaf Nisya Telah Menyamar Jadi Pramugari Gadungan
Nisya pramugari gadungan yang viral akhirnya membuat klarifikasi atas kegaduhan di jagat maya.
Wanita dengan nama lengkap Khairun Nisa itu meminta maaf kepada semua pihak, termasuk kepada maskapai… pic.twitter.com/SVbBtqvTHZ
— b3'doel (@B3doel_) January 8, 2026
Tidak mampu menghadapi kenyataan, Nisa berpura-pura diterima sebagai pramugari dan berangkat ke lapangan terbang memakai seragam rasmi.
Peristiwa itu mencetus pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat. Ada yang mengecam tindakannya, manakala sebahagian lain memahami situasi tersebut sebagai refleksi tekanan sosial dan impian besar seorang anak daerah untuk memperbaiki nasib.
Selepas kejadian itu, Nisa tidak berputus asa untuk mencapai impiannya dan mencuba semula mengambil ujian dan latihan pramugari. Akhirnya, impian yang sebelum ini dicapai secara salah kini menjadi sah.
Menurut maklumat keluarga, Nisa diterima dan ditugaskan sebagai pramugari Garuda Indonesia.
"Alhamdulillah, berkat doa kita semua, Nisa akhirnya boleh terbang secara rasmi," kata salah seorang anggota keluarganya.
Selain itu, Aeronef Academy menyatakan kesediaan memberi peluang kedua kepada Nisya untuk membina kerjaya dalam bidang penerbangan secara sah.

Nisa sebelum ini tular kerana menyamar sebagai pramugari Batik Air pada awal Januari lalu. — Agensi
Melalui akaun Instagram rasmi mereka, @aeronefacademy.official, pihak akademi menawarkan program latihan pramugari percuma sambil memberi sokongan moral.
Hantaran itu menarik perhatian warganet dan menerima pelbagai respons positif, menekankan bahawa kegagalan bukan penamat tetapi pintu kepada permulaan yang lebih baik.
Aeronef Academy turut mempelawa Nisa menyertai latihan awak kabin tanpa bayaran sebagai tanda empati dan komitmen membantu individu yang mempunyai tekad, namun pernah tersilap langkah.
“Kisah perjuangan Nisa dari Palembang menyentuh ramai pihak. Keinginannya untuk membahagiakan ibu bapa menjadi alasan kami membuka peluang ini.
"Kami percaya, niat baik harus diarahkan melalui jalan yang betul,” tulis pihak Aeronef Academy.
Aeronef Academy dikenali sebagai institusi latihan awak kabin bertaraf dunia (World Class Cabin Crew Training) yang menekankan pembentukan karakter profesional, disiplin, etika kerja, serta kesiapsiagaan menghadapi cabaran industri penerbangan.
Kesempatan latihan percuma itu diharap menjadi momentum perubahan bagi Nisa, bukan sahaja untuk mengejar semula cita-cita yang tertunda, malah membuktikan bahawa masa lalu yang silap tidak menghalang seseorang mencapai masa depan lebih gemilang.
Kisah Khairun Nisa menjadi pengingat bahawa kejujuran, ketekunan dan keberanian memperbaiki diri adalah kunci untuk merealisasikan impian.
Daripada tular kerana kesilapan, kini Nisa melangkah menggapai masa depan dengan pencapaian sebenar. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
