MISTERI mengenai seorang wanita yang tular kerana menyamar sebagai pramugari syarikat penerbangan Batik Air baru-baru ini akhirnya terjawab apabila dia tampil membuat permohonan maaf secara terbuka.
Wanita berusia 23 tahun dikenali sebagai Nisya dari Palembang, Indonesia sebelum ini mencetuskan perhatian ramai apabila didakwa berada di dalam sebuah pesawat dan berlagak seolah-olah sebahagian daripada kru kabin bagi penerbangan dari Palembang ke Jakarta.
Perbuatannya itu sekali gus menimbulkan kegusaran orang ramai kerana dikhuatiri boleh menjejaskan aspek keselamatan penerbangan.
Pada masa sama, perbuatannya itu juga dianggap mencalar imej profesion pramugari yang menuntut latihan, disiplin dan prosedur operasi yang ketat.
Difahamkan, kisah penyamaran itu mula tular selepas satu hantaran di platform X melalui akaun @ndymanoballl pada Rabu yang mendedahkan tindakan wanita berkenaan.
Menurut perkongsian tersebut, Nisya dipercayai datang ke lapangan terbang dengan persiapan rapi, memakai pakaian batik menyerupai seragam pramugari, membawa bagasi khas, serta menggantung kad identiti yang meniru rekaan kru kabin bagi menguatkan penyamarannya.
Pemilik akaun itu menyifatkan tindakan terbabit sebagai satu perbuatan yang keterlaluan dan menasihati supaya mana-mana individu yang benar-benar berminat bekerja dalam industri penerbangan mengikuti saluran sah, menghadiri latihan serta melalui proses penilaian yang ditetapkan.
Bagi membolehkan dirinya berada di dalam pesawat, Nisya dilapor membeli tiket penerbangan biasa, menyebabkan sebahagian petugas menyangka dia mungkin kru tambahan.
Disoal kru, penyamaran mula terbongkar
Bagaimanapun, keadaan berubah apabila salah seorang pramugari bertugas menyoal kedudukan tugas dan latar belakangnya. Nisya gagal memberikan jawapan yang konsisten.
Kecurigaan bertambah apabila anggota kru lain meminta kad identiti rasmi untuk pengesahan.
Pemeriksaan mendapati kad yang digunakan tidak mematuhi format sebenar dan kelihatan seperti rekaan lama yang tidak lagi digunakan sejak 15 tahun yang lalu.
Susulan itu, maklumat segera dimaklumkan kepada pihak keselamatan penerbangan.
Setibanya pesawat di Jakarta, anggota Aviation Security (Avsec) menunggu di pintu ketibaan sebelum membawa wanita berkenaan untuk pemeriksaan lanjut.
Pihak keselamatan difahamkan mengambil keterangan bagi menilai sejauh mana penyamarannya boleh menjejaskan prosedur operasi dan keselamatan penumpang.
Selepas kejadian tu, Nisya kemudiannya tampil dalam sebuah video penjelasan berdurasi beberapa minit.
Dia muncul tanpa sebarang pakaian menyerupai uniform dan memohon maaf kepada pihak terlibat.
"Saya mengakui bukan pramugari dan tidak pernah menjadi sebahagian daripada kru mana-mana syarikat penerbangan. Hanya impian yang tidak tercapai.
"Saya memohon maaf kepada Batik Air, Lion Group serta semua pihak yang terkesan," katanya.
Menurutnya, tindakan yang dilakukan adalah atas kesilapan sendiri dan tidak melibatkan mana-mana individu lain.
"Video ini dibuat atas kesedaran sendiri, tanpa paksaan sesiapa. Saya menyesal dan berjanji tidak mengulanginya," ujarnya.
Insiden berkenaan mencetuskan perbincangan luas dalam kalangan pengguna media sosial.
Ramai menyifatkan tindakan menyamar di sektor kritikal seperti penerbangan bukan sekadar gurauan, sebaliknya boleh mengundang risiko jika individu tidak terlatih berada di kawasan operasi sensitif.
Setakat ini, belum ada pengesahan lanjut mengenai tindakan susulan pihak berkuasa atau syarikat penerbangan, namun kejadian berkenaan dilihat memperkukuh keperluan pengawasan lebih ketat terhadap individu yang bergerak di kawasan terhad. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
