SEORANG kanak-kanak dari Manila, Filipina tidak dapat menahan rasa sedih selepas menerima bongkah batu dan pakaian terpakai ketika acara bertukar-tukar hadiah di sekolah.
Kisah menyentuh hati itu dikongsikan ibunya menerusi akaun Facebook Carnice Fam's Vlog memaparkan kedua-dua objek itu dibalut dengan kemas.
Video berdurasi lebih seminit tersebut turut memaparkan kanak-kanak berkenaan menangis sambil kedengaran ibunya menelefon pihak sekolah mengenai hal itu.
BACA LAGI: Remaja 14 tahun kumpul RM43,000, bagi hadiah Krismas buat golongan susah
BACA LAGI: [VIDEO] Wanita terima hadiah lepas sanggup korbankan skarf lap tumpahan air boba di lantai
Dalam perkongsian dibuat kepada media Filipina, pemilik akaun itu menceritakan bagaimana anaknya merupakan penghidap asma yang menyukarkan usaha membawa pulang hadiah ke kediamannya.
Namun, meskipun keletihan, kanak-kanak itu pada awalnya menunjukkan perasaan girang kerana teruja akan hadiah diterima sebelum membuka kertas balutan.
"Apa yang sudah anda lakukan kepada anak saya? Sangat menyedihkan apabila dia membuka hadiah dan mendapati apa yang diterimanya merupakan bongkah simen dan baju bernilai 50 peso (RM3.46).
"Dia sanggup membawa hadiah berat itu ke rumah untuk memberi kejutan. Saya sendiri berpeluh ketika mengangkatnya. Momen yang sepatutnya indah buat anak saya berubah menjadi hal mendukakan," tulisnya.
Ibu kepada murid malang tersebut turut kecewa kerana mengikut persetujuan, setiap kanak-kanak yang ingin menyertai acara pertukaran hadiah itu perlu menyediakan barangan bernilai 200 peso (RM13.84).

Pengguna media sosial mengirimkan hadiah, termasuk basikal buat kanak-kanak terbabit. — Facebook/Carnice Fam's Vlog
Insiden itu bagaimanapun sudah diselesaikan apabila pemilik akaun berkenaan sudah bertemu murid serta ibu bapa bertanggungjawab atas bongkah simen dan baju terpakai terbabit.
"Mereka sudah meminta maaf tetapi kami tiada pilihan lain selain menerima pemberian berkenaan," katanya.
Jelas ibu bapa kepada pemberi hadiah itu, mereka tidak tahu akan perkara tersebut kerana mereka hanya memberi jumlah seperti mana diminta tanpa mengambil kira barangan hendak diberikan dalam majlis pertukaran hadiah itu.
Bagaimanapun, semakan di laman Facebook mendapati kanak-kanak itu sudah kembali tersenyum setelah kisah menyentuh hati terbabit menerima perhatian pengguna media sosial prihatin.
Malah, ada daripada mereka yang mengirimkan hadiah seperti basikal dan sepasang baju baharu kerana simpati akan nasib kanak-kanak berkenaan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
