BIARPUN tiada pertalian darah, empat wanita bergelar pembantu rumah sanggup bergadai nyawa menyelamatkan bayi dan kanak-kanak di bawah jagaan mereka.
Kejadian berlaku di sebuah pangsapuri Hong Kong baru-baru ini membuktikan betapa mereka sebenarnya memiliki hati yang cukup telus di saat nyawa sendiri nyaris terkorban.
Kisah keberanian empat wanita iaitu Erawati dari Indonesia, Nerissa Catabay, Rhodora Alcaraz dan Reinalyn Niere (Filipina) menjadi tumpuan selepas mereka bertindak melindungi anak majikan dalam kejadian yang meragut lebih 100 nyawa itu.
BACA LAGI: 'Selamat datang ke dunia', Chryseis Tan kini ibu anak tiga, selamat lahir cahaya mata lelaki
BACA LAGI: 'Nak tidur 'melepet' bawah ketiak papa', ada minta tip, 'jealous' Johan akrab dengan anak remaja
Insiden paling hangat diperkatakan ialah pengorbanan Rhodora Alcaraz, pembantu rumah berusia 28 tahun yang baru tiba di Hong Kong sehari sebelum tragedi.
Ketika kebakaran berlaku, Rhodora memeluk erat bayi tiga bulan yang dijaganya dan menutupinya dengan selimut basah, sambil menahan panas serta asap toksik yang tebal selama berjam-jam.
Dia ditemukan anggota bomba dalam keadaan masih mengendong bayi tersebut dan kini Rhodora dirawat dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi menggunakan ventilator.
Erawati maut
Konsulat Indonesia mengesahkan dua pembantu rumah negaranya telah pun terkorban iaitu Erawati, dari Dampit, Malang yang sedang menjaga bayi majikannya ketika kebakaran berlaku.

Erawati meninggalkan suami dan anaknya demi bekerja sebagai pembantu rumah di Hong Kong.
Menurut pihak berkuasa Indonesia, Erawati melindungi bayi tersebut dengan tubuhnya sendiri untuk menghalang asap panas dan bara.
Ketika pasukan penyelamat tiba, bayi itu masih terselamat dalam pelukannya sementara Erawati disahkan meninggal dunia akibat terhidu asap dan kecederaan kritikal.
Jenazahnya dijangka dibawa pulang ke Indonesia untuk urusan keluarga.
Reinalyn selamatkan kanak-kanak
Pembantu rumah kelahiran Filipina, Reinalyn Niere, digelar wira selepas berjaya menyelamatkan anak majikannya yang berusia tiga tahun.
Difahamkan, Reinalyn sedang tidur ketika api mulai marak namun tersedar usai dikejutkan oleh panggilan telefon dari rakannya.
Tanpa berfikir panjang, dia pantas mencapai kanak-kanak itu dan berlari menuruni tangga yang dipenuhi asap tebal akibat pembakaran tersebut.
Pun begitu, Reinalyn dilaporkan terjatuh dari tingkat atas namun hanya mengalami kecederaan ringan dengan kanak-kanak tersebut juga dalam keadaan selamat.
Lari turun 23 anak tangga
Seorang lagi pembantu rumah Filipina, Nerissa Catabay juga terselamat selepas bertindak pantas membawa lari bayi majikannya sebaik api mulai marak.
Dia pantas menuruni 23 anak tangga tanpa memikirkan harta benda, malah difahamkan beberapa kali bangkit dan meneruskan larian selepas hampir rebah akibat sesak nafas.
Insiden tersebut membuka mata masyarakat betapa besar jasa dan peranan pekerja domestik dalam kehidupan seharian, terutama melibatkan keselamatan anak majikannya.
Pihak berkuasa Filipina dan Indonesia kini sedang memantau perkembangan terkini semua mangsa terlibat, selain turut memberi sokongan kepada keluarga yang terjejas. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
