[VIDEO] Wanita terima hadiah lepas sanggup korbankan skarf lap tumpahan air boba di lantai


  • Benua
  • Khamis, 11 Dis 2025

Tangkap layar wanita itu menggunakan skarf yang dipakainya untuk mengelap lantai sehingga bersih.

TULAR di media sosial sebuah video memaparkan tindakan luar biasa seorang wanita yang sanggup menggunakan skarf miliknya sendiri untuk membersihkan tumpahan minuman bubble tea di dalam kereta api bawah tanah di Jiangsu, China.

Dalam kejadian yang difahamkan berlaku pada 4 Disember itu, wanita berkenaan dilaporkan secara tidak sengaja menumpahkan minumannya di lantai gerabak.

Tidak mahu meninggalkan kekotoran tersebut, dia pada mulanya cuba membersihkan tumpahan itu menggunakan tisu, namun selepas kehabisan, dia nekad menggunakan skarf yang dipakainya untuk mengelap lantai sehingga bersih.

BACA LAGI: Gempa berskala mega diramal landa Jepun susulan gegaran kuat 7.5 magnitud

BACA LAGI: [VIDEO] Buat kerja tak 'clean', 3 polis India digantung tugas akibat buang mayat sebab mahu 'mengelat'

Rakaman kejadian daripada pelbagai sudut turut dikongsi orang ramai di media sosial dan menerima pujian meluas daripada warganet yang kagum dengan tahap kesedaran siviknya.

Menurut laporan Phoenix TV News, tindakan itu turut menarik perhatian syarikat pengendali kereta api bawah tanah dan sebagai penghargaan, mereka menghadiahkan wanita tersebut skarf baharu beserta beberapa hadiah tambahan.

Sementara itu, hantaran yang dikongsi di Instagram oleh akaun, phoenixtv_news turut memaparkan naratif insiden itu dan telah meraih hampir 3,000 tontonan sejak dimuat naik.

"Ya, dia sangat bertanggungjawab. Saya bangga dengannya," ujar seorang pengguna media sosial.

Seorang lagi berkongsi pengalaman bekerja di sebuah syarikat China, dengan menceritakan bosnya sendiri pernah mengelap tumpahan air menggunakan tisu tanpa mengharapkan orang lain melakukannya.

"Kenapa orang lain perlu membersihkan tumpahan yang anda buat?" tulis seorang pengguna media sosial yang menekankan kepentingan tanggungjawab diri.

Seorang lagi waragenet memuji syarikat kereta api dan individu yang merakam kejadian itu, namun menyifatkan wanita tersebut sebagai wira sebenar dalam situasi berkenaan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram