Min Luna buka tirai Fashionably Modest Asia 2025, menata rias gabungan 20 'look' dari pelbagai pereka


  • Gaya
  • Jumaat, 21 Nov 2025

Beberapa koleksi yang dipersembahkan di Fashionably Modest Asia 2025.

DUNIA fesyen 'modest' menjadi tumpuan peminat fesyen tanahair apabila Fashionably Modest Asia 2025 membuka tirai sulungnya, membawa visi dan identiti modest Asia ke peringkat global. 

Pentas pembukaan kali ini digerakkan oleh penata gaya terkenal, Min Luna yang mempersembahkan kurasi eksklusif 20 gaya dari pelbagai pereka fesyen tempatan.

Menurut Min Luna, koleksi tersebut dilancarkan dengan matlamat memberi ruang lebih luas kepada pemakai untuk bereksperimen dan mencipta gaya mereka sendiri. 

BACA LAGI: Tak kisah kena 'posting' jauh, suami isteri bergelar guru dedah cabaran mengajar di pedalaman

BACA LAGI: 'Jangan biasakan anak guna barang bukan milik kita', peringatan Farah Lee buat ibu bapa

Min Luna dan Jaja Anuar sewaktu di Fashionably Modest Asia 2025 pada Selasa.

Katanya, gadingan aksesori bukan sekadar pelengkap pakaian, tetapi satu cara untuk mempelbagaikan cara wanita bergaya dalam kerangka kesederhanaan. 

“Sebagai penata gaya, matlamat saya adalah untuk mengangkat gaya semua model di luar sana. Koleksi ini direka supaya mereka boleh bereksperimen, padan dan gayakan semula pakaian masing-masing,” katanya kepada Majoriti.

Min Luna turut menegaskan bahawa usaha ini tidak berhenti pada rekaan fesyen semata-mata. 

Acara ini turut dihimpunkan model dari seluruh negara dan mewujudkan sebuah komuniti yang berkongsi minat terhadap fesyen, gaya hidup dan kecantikan. 

Sementara itu, pencipta kandungan, Jaja Anuar tampil menjelaskan maksud sebenar gaya modest yang sering disalah tafsir sebagai sekadar pemilihan pakaian.

"Maksud modest yang sebenarnya bermula dalam diri kita sendiri. Contohnya cara kita jalan, adab, bukan tentang gaya luaran sahaja," katanya. 

Beliau mengakui kekeliruan masyarakat tentang maksud modest banyak berpunca daripada pelbagai interpretasi yang bercampur sehingga mengaburkan nilai asasnya.

Edisi tahun ini turut mengukuhkan kerjasama serantau apabila beberapa pereka ASEAN tampil membawa naratif budaya masing-masing ke runway

Antaranya ialah Na Forrér dari Brunei yang menampilkan sentuhan moden pada kraf tradisional, Chris Nick dari Filipina dengan siluet berani yang mencerminkan denyut nadi fesyen Manila, serta Khaar dari Vietnam yang menerapkan elemen kelestarian dalam rekaan mereka. 

Indonesia pula diwakili label Benang Jarum yang dikenali dengan gaya modest kontemporari yang elegan dan bersahaja. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram