DETIK cemas melanda penumpang sebuah penerbangan Air Congo apabila mereka terpaksa melompat keluar dari pesawat selepas terkandas selama beberapa jam di Lapangan Terbang Kindu, Republik Demokratik Congo (DRC), berikutan ketiadaan tangga penumpang pada Jumaat.
Rakaman video yang dirakam pada waktu malam dan tular di media sosial pada hari yang sama itu memaparkan beberapa penumpang terpaksa terjun dari pintu pesawat setinggi kira-kira lima hingga enam kaki ke atas landasan.
Dalam video itu juga, kelihatan kakitangan lapangan terbang membantu penumpang sebelum mereka turun dari pesawat.
BACA LAGI: [VIDEO] Lelaki OKU mengamuk sebelum tetak moyang, tikam nenek hingga mati di Kedah
BACA LAGI: [VIDEO] Syif terakhir, pekerja kilang di China maut tak sempat selamatkan diri dihempap besi
Insiden itu turut menimbulkan kebimbangan serius terhadap keselamatan penumpang, terutamanya melibatkan warga emas dan individu kurang upaya.
Malah, ada dalam kalangan warga maya menyifatkan kejadian itu sebagai kegagalan operasi yang jelas di lapangan terbang terpencil, dan menyeru pihak berkuasa DRC meningkatkan standard keselamatan di kemudahan penerbangan kecil.
Meanwhile at Kindu Airport in the Democratic Republic of Congo, passengers on an Air Congo flight were forced to jump out of the Boeing 737 because there were no stairs available! pic.twitter.com/LT154oW9Tq
— Turbine Traveller (@Turbinetraveler) December 19, 2025
Untuk makuman, Lapangan Terbang Kindu yang terletak di Wilayah Maniema merupakan hab penerbangan serantau penting di timur DRC.
Namun, seperti kebanyakan lapangan terbang sekunder di negara itu, ia berdepan masalah infrastruktur lama, kekurangan peralatan sokongan darat seperti tangga penumpang, dan kelewatan penyelenggaraan yang berpanjangan.
Keadaan itu diburukkan lagi oleh keluasan geografi negara, konflik berterusan, serta sejarah kekurangan pelaburan dalam sektor penerbangan.
Difahamkan, Air Congo merupakan syarikat penerbangan kebangsaan baharu DRC yang dilancarkan pada Disember 2024 hasil kerjasama dengan Ethiopian Airlines, bertujuan meningkatkan kesalinghubungan penerbangan domestik, terutama ke kawasan terpencil.
Namun, insiden di Kindu menonjolkan kelemahan berterusan dalam pengurusan operasi darat di lapangan terbang kecil dan menunjukkan bahawa pembangunan infrastruktur masih perlu dipergiat.
Sebelum ini, DRC mencatat beberapa insiden penerbangan sejak awal 2025, termasuk pesawat tergelincir dari landasan dan kegagalan gear pendaratan.
Bagaimanapun, kejadian di Kindu itu dipercayai berpunca daripada masalah operasi darat dan bukannya kemalangan penerbangan.
Pihak berkuasa DRC dan Air Congo sedang menjalankan siasatan bagi memastikan insiden seumpama itu tidak berulang, dan usaha pemodenan sektor penerbangan yang disokong rakan antarabangsa giat dijalankan.
Namun, cabaran besar masih wujud, khususnya di wilayah terpencil negara itu yang sukar diakses. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
