SEORANG wanita berusia 65 tahun maut, manakala ibunya yang berusia 80 tahun cedera selepas diserang oleh cucu mangsa dalam kejadian amuk di Kampung Baru Bakai, Malau, Kedah pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Brandon Richard Joe berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian itu kira-kira pukul 7 malam.
Menurutnya, suspek berusia 21 tahun yang dikenal pasti sebagai individu orang kurang upaya (OKU) intelektual dibawa oleh orang awam ke Balai Polis Malau sebelum ditahan pada pukul 7.50 malam bagi membantu siasatan.
BACA LAGI : [VIDEO] Wanita batalkan perkahwinan angkara perangai tamak pengantin lelaki minta hantaran tak masuk akal
BACA LAGI : [VIDEO] Syif terakhir, pekerja kilang di China maut tak sempat selamatkan diri dihempap besi
"Suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan mengaku menikam nenek serta ibu kepada neneknya di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat, manakala mangsa yang cedera dirujuk ke Hospital Kulim bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Tambahnya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Baling pada Rabu bagi permohonan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
