[VIDEO] Cubaan beli barang kemas RM30,000 guna wang palsu warna putih di Terengganu gagal


  • Kes
  • Jumaat, 19 Dis 2025

Tangkap layar video memaparkan wang palsu yang cuba digunakan oleh suspek.

POLIS sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki cuba membeli barang kemas menggunakan wang palsu di sebuah kedai emas di Chabang Tiga dekat Kuala Terengganu, Terengganu pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati suspek yang dipercayai berusia lingkungan 30-an itu datang bersendirian ke kedai berkenaan kira-kira pukul 3.10 petang.

Menurutnya, lelaki berkenaan memakai kopiah putih, cermin mata hitam serta pelitup muka berwarna merah jambu.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Usaha untuk berjaya tanpa ibu bapa tak semua orang boleh buat', anak yatim terima anugerah Tokoh Murid Lelaki sekolah agama

BACA LAGI: [VIDEO] 'Repot CAAM, polis', pemilik dron boleh dikenakan tindakan jika ganggu privasi penduduk

"Suspek meminta pembantu jualan menunjukkan beberapa utas gelang emas sebelum mengambil gambar barang kemas tersebut kononnya untuk ditunjukkan kepada isterinya.

"Selepas keluar dan masuk semula ke kedai sebanyak dua kali, suspek kemudian bersetuju membeli barang kemas bernilai RM30,000," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, pembantu jualan wanita berusia 36 tahun itu kemudian meminta suspek menyerahkan wang untuk dikira sebelum menerima sejumlah wang yang dibungkus di dalam beg plastik berwarna kuning.

"Bagaimanapun, pembantu jualan berkenaan berasa curiga apabila mendapati bahagian tepi wang tersebut berwarna putih lalu cuba memeriksanya dengan lebih lanjut sehingga berlaku pergelutan kecil," katanya.

Azli berkata, menyedari tindakannya terbongkar, suspek bertindak melarikan diri dengan menaiki sebuah Perodua Axia berwarna biru gelap yang diletakkan di hadapan kedai.

"Pemeriksaan tuut mendapati nombor pendaftaran kenderaan tersebut adalah palsu.

"Polis kini mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan serta kedai berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Menurut beliau, tiada kerugian dilaporkan kerana suspek gagal melarikan sebarang barang kemas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan kerana menggunakan wang palsu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram