HIDUP tanpa kasih sayang ibu bapa bukanlah sesuatu yang mampu dilalui semua orang, lebih-lebih lagi apabila kehilangan tempat bergantung dan kasih sayang sejak kecil.
Bagi kebanyakan kanak-kanak, sokongan ibu bapa menjadi tulang belakang kejayaan, namun bagi Muhammad Azim Rizky Azmi, takdir sebaliknya tidak mematahkan semangatnya untuk terus melangkah dan mencipta kejayaan sendiri.
Dalam keterbatasan hidup sebagai anak yatim piatu, Muhammad Azim membuktikan bahawa kekurangan bukan alasan untuk berputus asa apabila dinobatkan sebagai Tokoh Murid Lelaki di Sekolah Rendah Agama Nurul Iman, Selayang Baru, Selangor sekali gus menyentuh hati ramai warganet yang mengikuti kisahnya di media sosial.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Repot CAAM, polis', pemilik dron boleh dikenakan tindakan jika ganggu privasi penduduk
BACA LAGI: ‘Rumah nenek ada Wi-Fi tak?’, tanda kebergantungan digital kanak-kanak makin membimbangkan
Kisah menyentuh hati Muhammad Azim tular selepas dikongsikan oleh seorang wanita, Enie Adha Adnan, menerusi laman Threads miliknya, puan_enie, pada Rabu.
Enie sendiri mengakui dia dan suaminya tidak dapat menahan sebak ketika menyaksikan penyampaian anugerah itu, walaupun tidak mempunyai pertalian keluarga dengan Muhammad Azim.
Menurut Enie, Muhammad Azim merupakan anak yatim piatu dan anak tunggal yang kini dijaga oleh nenek serta ibu saudaranya.
"Walaupun bukan anak saya, hati ini terlalu tersentuh. Murid ini memang layak dijadikan tokoh kerana usaha dia untuk berjaya tanpa ibu dan ayah bukan semua orang mampu lakukan," katanya.
Tambah Enie, anaknya yang sekelas dengan Muhammad Azim turut mendedahkan latar belakang kehidupan rakannya itu yang penuh ujian sejak kecil.
"Arwah ibunya meninggal dunia selepas melahirkannya, manakala arwah ayah pula meninggal dunia ketika dia di Darjah Empat akibat sakit," jelasnya.
Perkongsian itu turut mendapat perhatian guru Muhammad Azim iaitu Nazariyah Mustafa Afifuddin yang menyifatkan pelajarnya sebagai seorang yang berakhlak mulia dan cemerlang dalam akademik.
"Anak murid saya budak yang sangat baik. Di sekolah kebangsaan, dia turut menerima anugerah Tokoh Sahsiah. Semoga terus cemerlang di sekolah menengah," tulis guru berkenaan.
Sementara itu, pengguna media sosial, Seriel Maharani, turut meluahkan rasa sebak membaca kisah Muhammad Azim dan mengingatkan tentang nilai persaudaraan sesama manusia.
"Hari ini kita membaca kisah anak ini pun sudah cukup membuatkan kita sebak kerana terasa dekat dan seolah-olah memahami apa yang dia rasakan," katanya.
Kisah Muhammad Azim nyata menyentuh hati warganet yang rata-ratanya mendoakan agar pelajar itu terus berjaya dan dipermudahkan urusan menempuh kehidupan pada masa hadapan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
