Rumah tangga jadi renggang lepas ada anak, wanita kongsi rutin 'refill tangki cinta day' buat hubungan kembali rapat


  • Cinta
  • Isnin, 01 Dis 2025

Luangkan masa berdua tanpa anak mampu menghidupkan semula cinta dalam rumah tangga. — Gambar hiasan/Janaan AI

RAMAI pasangan muda tidak menyangka bahawa kehadiran cahaya mata yang sepatutnya menjadi pelengkap bahagia sebenarnya boleh menjadikan mereka semakin jauh tanpa disedari.

Di sebalik senyuman menyambut kelahiran anak pertama, segelintir ibu bapa baharu mengaku mereka terperangkap dalam rutin harian yang memenatkan sehingga lupa menjaga kemesraan antara satu sama lain.

Situasi itulah yang dialami seorang wanita yang berkongsi kisahnya di media sosial.

BACA LAGI: Nama 'hilang' dari sistem bantuan, ibu tunggal di Indonesia kupas 20kg bawang sehari demi pendidikan anak

BACA LAGI: Rai ulang tahun perkahwinan ke-52, Toh Puan Raja Noora Ashikin kenang detik pertemuan pertama bersama suami

Menurutnya, sejak bergelar ibu, fokus hidupnya berubah sepenuhnya kepada bayi sehingga hubungan suami isteri mula terasa longgar.

"Sejak saya jadi ibu, fokus hidup saya sepenuhnya pada bayi. Kadang-kadang rasa macam kami dah lupa nak jadi suami isteri, cuma jadi ibu dan bapa saja," katanya.

Beliau mendedahkan dirinya disahkan hamil sejurus selepas berkahwin.

"Pada awalnya perasaan bercampur-baur. Gembira, tapi pada masa sama risau sebab cuma ada sembilan bulan untuk nikmati fasa berdua sebelum hidup berubah sepenuhnya," ujarnya.

Tambahnya, selepas melahirkan anak, emosi postpartum dan penyesuaian sebagai ibu baharu menambah cabaran.

"Saya perasan saya kurang berinteraksi dengan suami sebagai pasangan, semuanya fokus pada anak. Rasa macam hidup kami bergerak dalam autopilot saja," jelasnya.

Keadaan itu berlarutan sehingga beliau kembali bekerja selepas tamat cuti bersalin.

Ketika itulah timbul idea untuk mencipta rutin baharu bersama suami yang dinamakan ‘Refill Tangki Cinta Day’, iaitu satu hari khas setiap bulan untuk mereka berdua tanpa anak.

"Tak perlu buat besar-besaran. Kadang-kadang kami cuma curi masa keluar makan tengah hari atau ambil cuti separuh hari untuk tengok wayang. Asalkan dapat waktu berdua," katanya.

Sejak mengamalkan rutin ini, beliau mendapati mereka berdua lebih ceria dan lebih hadir secara mental ketika bersama anak.

"Sebelum ini, kami rasa kemesraan makin pudar sebab hidup hanya berkisar pada tanggungjawab sebagai ibu bapa.

"Sekarang, kami lebih gembira dan anak pun nampak kami bahagia bersama," kongsinya.

Wanita itu turut menekankan bahawa mengekalkan kasih sayang suami isteri bukan sekadar untuk diri sendiri, tetapi juga untuk emosi anak.

"Anak itu hadir daripada kasih sayang ibu dan ayah. Macam mana dia nak belajar menyayangi kalau kita sendiri tak jaga hubungan kami?" katanya.

Menurut doktor yang juga pempengaruh media sosial, Dr. Samhan, selain rutin bulanan, pasangan juga boleh mencuba lima cara mudah untuk kembalikan kemesraan seperti baru berkahwin yang boleh diamalkan setiap hari:

1. Peluk pasangan 3 kali sehari

Pelukan ringkas tetapi konsisten mampu mengembalikan rasa dekat dan intim antara suami isteri.

2. Suap pasangan ketika makan

Aktiviti kecil ini menyeronokkan dan membina ikatan manis antara suami isteri.

3. Makan bersama tanpa pegang telefon

Fokus pada pasangan, bercakap dan gelak Bersama menjadikan masa berdua lebih berkualiti.

4. Pillow talk sebelum tidur

Luangkan masa berbual, berkongsi cerita dan perasaan sebelum tidur untuk meningkatkan keintiman emosi.

5. Saling puji memuji

Ungkap kata manis dan pujian kecil setiap hari untuk mengekalkan rasa cinta dan hormat dalam rumah tangga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram