Bukan setakat Thailand, Tok Mat nasihat tangguh percutian ke Vietnam angkara banjir


  • Massa
  • Isnin, 24 Nov 2025

Laluan utama menuju ke pusat Nha Trang iaitu sebuah bandar pelancongan popular, terputus sepenuhnya akibat banjir yang melanda.

RAKYAT Malaysia dinasihat supaya menangguhkan perjalanan ke Vietnam dan Thailand berikutan cuaca tidak menentu yang telah menyebabkan banjir besar sehingga menjejaskan beberapa kawasan di kedua-dua negara, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata, keadaan di Vietnam ketika ini berada pada tahap membimbangkan khususnya di kawasan pedalaman dan tanah tinggi yang terjejas teruk akibat hujan lebat serta banjir dengan arus deras sehingga mengakibatkan banyak korban.

BACA LAGI: 'Kali ini jauh lebih buruk', pelajar UMK Kampus Kota redah banjir, selamatkan 'laptop', buku

BACA LAGI: [VIDEO] Punya teruk banjir sampai tiang transformer elektrik meletup di Hatyai

"Saya mendapat laporan setiap jam daripada Konsulat kita di Ho Chi Minh dan juga kedutaan kita di Hanoi yang melaporkan keadaan terkini... dan baru tadi pada 11 pagi, saya menerima laporan daripada Konsul Jeneral kita yang bertugas di Ho Chi Minh City.

"Banjir memang amat teruk tetapi di kawasan pedalaman dan kawasan pertengahan serta kawasan tanah tinggi seperti Dak Lak, Lai Dong dan Gia Lai," katanya ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 di Kota Belud, Sabah pada Isnin. 

Mohamad berkata, beliau akan menghubungi rakan sejawatnya, Le Hoai Trung pada Selasa bagi menyelaras sebarang keperluan selain berurusan dengan Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan di Jakarta sekiranya Vietnam memerlukan sokongan segera.

Beliau turut mengesahkan bahawa setakat laporan pada 11 pagi tadi (Isnin), tiada rakyat Malaysia yang terlibat dalam kejadian banjir di Vietnam.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mohamad turut menasihati rakyat Malaysia agar menangguhkan perjalanan ke Thailand khususnya Hatyai yang kembali dinaiki air susulan hujan berterusan di kawasan itu.

"Saya minta supaya mereka yang berhajat, yang telahpun membuat perancangan untuk masuk (ke Thailand), elok batalkanlah kerana kita tidak tahu... keadaan cuaca tidak menentu sekarang," jelasnya. 

Beliau berkata, lebih 13,000 rakyat Malaysia telah keluar melalui Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Bukit Kayu Hitam dan Padang Besar dalam tempoh tiga hari lepas.

"Rakyat Malaysia yang telah dibawa keluar ditempatkan di Kem Infantri Ke-5 Senanarong di luar Hatyai menuju ke Songkhla atau 12 pusat perlindungan sementara lain yang disediakan oleh pihak majlis perbandaran di Hatyai," ujarnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram