SUASANA riang bertukar suram apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia 4 tahun ditemukan maut selepas terperangkap di dalam istana belon permainan di Jambi, Indonesia pada 30 November lalu.
Mangsa, M. Gilang Hedrianto sebelumnya dilaporkan bermain sendirian selepas meminta izin ibu dan bapanya yang ketika itu sedang menikmati hidangan bakso berhampiran kawasan kejadian.
Mangsa bagaimanapun tidak pulang sekali gus menyebabkan keluarganya mula mencari di sekitar kawasan permainan tersebut.
BACA LAGI: 'Sabar cikgu, tengah buat ini, tak nampak?', ibu terkejut dengar anak jawab guru macam kawan
BACA LAGI: Menyesal tak sudah, anggap diri gagal jadi suami lepas isteri hidap kanser meninggal dunia
Ibu mangsa turut bertanya kepada pemilik taman permainan berkenaan yang ketika itu operasinya sudah dihentikan dan belon pula dikempiskan sebelum dilipat.
Datuk mangsa bagaimanapun meminta pemilik membuka lipatan belon itu semula.
Alangkah terkejutnya apabila mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam lipatan belon berkenaan.
Mangsa kemudian segera dikejarkan ke hospital berdekatan sekitar pukul 9.25 malam, namun disahkan meninggal dunia.
Pemilik perkhidmatan terlibat, Fatman Jaya, 42, mengakui menggulung dan melipat istana belon tanpa menyedari masih terdapat seorang kanak-kanak di dalamnya.
"Saya terus mengempiskan dan melipat belon selepas operasi ditutup tanpa menyangka ada yang tertinggal di dalamnya," katanya.
Susulan kejadian, polis Indonesia memaklumkan bahawa pihaknya sudah melakukan siasatan menyeluruh bagi menentukan punca dan jika terdapat unsur kecuaian.
Ketua Polis Kerinci, AKBP Arya Tesa Brahmana turut mengingatkan semua pengusaha permainan kanak-kanak agar mematuhi prosedur keselamatan.
"Setiap kawasan permainan perlu diperiksa dengan teliti sebelum dan selepas operasi," tegasnya.
Namun, kes tersebut dilaporkan sudah selesai dengan mencapai kata sepakat antara pihak syarikat terlibat dan keluarga mangsa.
Keluarga mangsa juga menyatakan penerimaan dan berharap agar insiden menyayat hati itu menjadi pengajaran kepada seluruh pengusaha taman permainan kanak-kanak. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
