[VIDEO] Tak sampai 24 jam gencatan senjata, Thailand tuduh Kemboja langgar perjanjian


  • Massa
  • Selasa, 29 Jul 2025

Tentera Thailand menuduh Kemboja langgar gencatan senjata walaupun perjanjian baru beberapa jam. — Agensi

TENTERA Thailand menuduh Kemboja sengaja melanggar perjanjian gencatan senjata yang dipersetujui kurang 24 jam sebelumnya, susulan pertempuran di sempadan yang meragut sekurang-kurangnya 33 nyawa dan memaksa ribuan penduduk berpindah.

Perjanjian itu sepatutnya menamatkan lima hari pertempuran sengit yang melibatkan serangan bom dan roket di kawasan sempadan, namun pelaksanaannya dilaporkan bermula dalam suasana yang tidak stabil.

Menurut tentera Thailand, mereka telah menghentikan semua serangan selepas tengah malam, tetapi masih menerima tembakan dari arah Kemboja di beberapa lokasi sehingga ke pagi Selasa.

BACA LAGI: Putrajaya jadi saksi, PM Anwar umum Thailand, Kemboja setuju laksana gencatan senjata

BACA LAGI: [VIDEO] Rasa tak puas hati dipercayai punca peserta wanita bergasak, Hari Sukan Perkep bertukar kecoh

Sebaliknya, jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja, Maly Socheata menafikan dakwaan tersebut dan memberitahu agensi berita AFP bahawa tiada pertempuran bersenjata berlaku sejak gencatan senjata bermula pada tengah malam.

"Tiada pertempuran telah dilaporkan di semua wilayah tentera Kemboja selepas gencatan senjata berkuat kuasa," katanya.

Satu pertemuan antara pegawai tentera tempatan kedua-dua negara yang dirancang sebagai sebahagian daripada perjanjian itu telah ditangguhkan sebanyak dua kali dan kini berdepan kemungkinan tidak akan berlangsung.

Pertikaian sempadan yang telah berlarutan selama lebih satu abad menjadi punca utama ketegangan antara Thailand dan Kemboja, situasi kembali tercetus sejak Mei lalu apabila seorang anggota tentera Kemboja terbunuh dalam satu insiden tembakan.

Ketegangan terus memuncak minggu lalu apabila lima tentera Thailand cedera akibat letupan periuk api, mendorong Bangkok menutup beberapa pintu sempadan, mengusir duta Kemboja serta memanggil pulang duta mereka dari Phnom Penh.

Pada Khamis, selepas insiden tembakan balas antara kedua-dua negara, Kemboja bertindak melancarkan beberapa serangan roket ke wilayah Thailand yang mengorbankan beberapa orang awam.

Serangan susulan dalam beberapa hari berikutnya menyaksikan lebih banyak korban awam di kedua-dua belah pihak, dengan puluhan ribu penduduk terpaksa berpindah ke pusat perlindungan sementara.

Pertempuran sengit dilaporkan berlanjutan sehingga tengah malam Isnin, tarikh akhir gencatan senjata, termasuk serangan udara oleh Thailand ke atas kedudukan tentera Kemboja.

Namun pada pagi Selasa, sebelum Thailand membuat tuduhan pelanggaran, Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet menyatakan bahawa keadaan di barisan hadapan dilihat kembali tenang sejak gencatan senjata dikuatkuasakan.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian damai, kedua-dua negara bersetuju untuk menarik balik pasukan masing-masing dan menerima pemantauan bebas bagi mengelakkan kejadian seumpama berulang.

Pertemuan antara Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai berlangsung di Malaysia pada Isnin dengan pengantaraan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden Asean.

Kemboja, yang dilihat memiliki kekuatan ketenteraan lebih rendah, berusaha keras mencapai gencatan senjata dan menyifatkan pertemuan itu sebagai amat positif.

Thailand yang pada awalnya keberatan untuk berunding, akhirnya bersetuju selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengugut untuk menghentikan rundingan tarif jika konflik tidak dihentikan segera. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram