KEBAKARAN besar melanda apartmen di Hong Kong yang menyebabkan sekurang-kurangnya 13 orang maut.
Dalam kejadian yang berlaku pada Rabu, kebakaran di kejiranan Tai Po tersebut berpunca disebabkan api merebak di bahagian perancah buluh (bamboo scaffoldings) merentasi tujuh blok bangunan.
Asap tebal berwarna hitam merebak dengan pantas dan tujuh daripada lapan blok apartmen itu terbakar dengan api marak.
BACA LAGI: [VIDEO] 4,000 rakyat Malaysia terkandas di Hat Yai-Songkhla, Wisma Putra pantau rapat keadaan semasa
BACA LAGI: KPDN sahkan tiada unsur penipuan selepas periksa lebih 2,000 pam RON95 di seluruh negara
Setakat berita ini ditulis, 13 mangsa yang terkorban terdiri daripada penduduk serta anggota bomba yang cuba memadamkan kebakaran.
Selain itu, 15 mangsa lagi dilaporkan cedera parah dengan sebilangan besar penduduk terperangkap di dalam bangunan.
Pihak bomba mengerahkan seramai 700 anggota untuk memadam kebakaran apartmen yang mempunyai 4,600 buah rumah di dalamnya.
Menurut polis, mereka menerima banyak aduan mengenai kecederaan serta penduduk yang terperangkap semasa kebakaran.
Kebakaran tersebut pada mulanya diletakkan dalam kategori 1 (kebakaran kecil) namun ia terus melonjak ke kategori 4 (kebakaran besar) beberapa jam selepas ia berlaku.
Ia kemudiannya naik ke kategori 5 (kebakaran sangat besar) yang merupakan tingkat tertinggi skala mengukur tahap kebakaran di Hong Kong.
Kerajaan Hong Kong dalam kenyataannya menzahirkan penghargaan terhadap anggota bomba yang terkorban iaitu Ho Wai-ho, 37, sebagai pejuang yang berdedikasi dan gagah perkasa.
"Sudah menjadi ahli bomba dan menyelamat selama enam tahun, khidmat ditunjukkan Ho sangat cemerlang. Saya sangat bersedih atas kehilangan anggota yang berdedikasi dan gagah perkasa sepertinya.
"Semua rakan amat bersedih atas kehilangan anggota yang cukup setia. Mewakili rakan-rakan, saya zahirkan simpati yang terdalam untuk keluarganya," kata Pengarah Jabatan Bomba Hong Kong, Andy Yeung. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp Channel dan Telegram
