MCMC peroleh penghakiman ingkar terhadap Telegram 'Edisi Siasat', 'Edisi Khas' kerana sebar kandungan memudaratkan


  • Kes
  • Jumaat, 14 Nov 2025

MCMC memfailkan permohonan itu pada 25 September selepas defendan gagal mengemukakan kehadiran dan pengakuan penerimaan dokumen yang sepatutnya dikemukakan pada 10 September.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Penghakiman Ingkar Pembelaan (Judgement in Default of Defence) terhadap pentadbir-pentadbir saluran Telegram 'Edisi Siasat' dan 'Edisi Khas'.

Ini selepas mereka gagal untuk memasukkan kehadiran dan pembelaan terhadap tindakan guaman yang difailkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Peguam MCMC, Wong Guo Jin berkata, Hakim Mahkamah Tinggi, Mahazan Mat Taib, membenarkan permohonan suruhanjaya itu selepas individu yang tidak dikenali mengendalikan kedua-dua saluran gagal mengemukakan memorandum kehadiran sebelum tarikh akhir yang ditetapkan oleh mahkamah.

BACA LAGI: Jadi pengguna digital bijak, elak 'phubbing' sampai abai perhatian kepada anak, orang sekeliling

BACA LAGI: Raih untung menerusi iklan scam judi online, Meta boleh diambil tindakan — MCMC

“Bagaimanapun, ganti rugi am dan ganti rugi teladan akan dinilai kemudian oleh mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas prosiding pada hari Jumaat (11 November).

MCMC memfailkan permohonan ingkar itu pada 25 September selepas defendan gagal mengemukakan kehadiran dan pengakuan penerimaan dokumen yang sepatutnya dikemukakan pada 10 September.

Tarikh akhir terakhir untuk defendan mengemukakan pembelaan adalah 24 September, namun tiada pembelaan yang diterima.

Wong berkata, mahkamah telah menetapkan 27 November untuk pengurusan kes bagi meneliti permohonan penghakiman ingkar MCMC terhadap Telegram Messenger Inc., defendan ketiga dalam saman tersebut.

Melalui penghakiman ingkar tersebut, mahkamah mengeluarkan beberapa perintah termasuk deklarasi bahawa pentadbir saluran Telegram 'Edisi Siasat' dan 'Edisi Khas' telah membenarkan kandungan memudaratkan diterbitkan serta diedarkan terhadap pihak-pihak yang terkilan iaitu institusi awam dan pegawai awam di Malaysia.

Mahkamah juga memberikan injuksi mandatori yang mengarahkan pentadbir kedua-dua saluran tersebut untuk menurunkan serta-merta secara kekal semua kandungan berunsur palsu, mengancam dan memudaratkan lain yang telah diterbitkan.

Selain itu, mahkamah turut mengeluarkan injunksi larangan yang menghalang pentadbir atau mana-mana ejen, pekerja dan sekutu mereka daripada menerbitkan semula, menyebarkan kandungan yang sama serta menerbitkan kandungan baharu serupa yang memudaratkan.

Mahkamah juga telah memerintahkan taksiran ganti rugi bagi menentukan ganti rugi am dan ganti rugi teladan pada tarikh akan datang.

Keputusan ini menegaskan prinsip bahawa kebebasan bersuara di platform dalam talian tidak boleh disalahgunakan untuk tujuan penyebaran fitnah, ugutan, pemerasan atau maklumat palsu yang boleh menjejaskan reputasi individu, keselamatan awam dan keharmonian masyarakat. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram