[VIDEO] Netizen China dah ramal tak kukuh, jambatan 758 meter runtuh lepas berbulan dibuka


  • Benua
  • Rabu, 12 Nov 2025

Tangkap layar detik dramatik jambatan baharu di wilayah Sichuan runtuh.

SEBUAH jambatan baharu di wilayah Sichuan, China runtuh selepas berlakunya kejadian tanah runtuh dengan insiden itu dilaporkan terjadi hanya beberapa bulan selepas ia siap dibina.

Jambatan Hongqi yang menjadi sebahagian daripada lebuh raya utama menghubungkan Sichuan dan kawasan tengah China dengan Tibet, runtuh selepas dihentam serpihan dan runtuhan batu dari gunung berhampiran.

Rakaman video yang tular menunjukkan detik dramatik apabila sebahagian struktur jambatan itu jatuh ke dalam sungai, manakala debu tebal dan habuk menyelubungi kawasan sekitar.

BACA LAGI: Gara-gara kerap tayang 'selfie', wanita Indonesia dipukul suami tua cemburu buta

BACA LAGI: Remaja bawa tujuh bahan letupan ke sekolah di Jakarta, 4 meletup

Polis dilaporkan telah mengesan rekahan pada cerun dan jalan di atas jambatan sebelum kejadian, sekali gus bertindak menutup laluan trafik di Maerkang bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Tindakan pantas berkenaan berjaya mengelakkan kehilangan nyawa, dengan pihak berkuasa mengesahkan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Menurut laporan tempatan China, jambatan sepanjang 2,500 kaki (kira-kira 758 meter) itu dipercayai runtuh akibat keadaan cuaca yang semakin buruk pada Selasa.

Struktur tersebut dibina bagi memudahkan perjalanan antara wilayah Sichuan dan Dataran Tinggi Tibet, serta dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada 28 September lalu.

Jambatan Hongqi juga terkenal dengan ketinggian luar biasanya, iaitu sekitar 2,050 kaki (lebih 625 meter) dari dasar jambatan ke dasar gaung.

Ia terletak berhampiran Stesen Janakuasa Hidro Shuangjiangku dan empangan besar yang sedang dibina di gaung Sungai Dadu, projek yang telah berjalan hampir sedekad dan dijangka menjadi empangan tertinggi di dunia apabila siap.

Dalam pada itu, kejadian tersebut mencetuskan perdebatan hangat di media sosial China.

Sebahagian pengguna mengecam pihak berkuasa dan pembina jambatan berkenaan, mendakwa asas binaan di kawasan pergunungan itu tidak cukup kukuh.

"Memandangkan jambatan ini dibina di atas gunung, mereka sepatutnya membina asas yang lebih kuat," kata seorang pengguna media sosial.

Namun, ada juga yang tampil mempertahankan pihak berkuasa dengan menyatakan bahawa kejadian berkenaan berpunca daripada kuasa alam yang tidak dapat dielakkan.

"Apa yang kita lihat ialah gunung menghempap jambatan. Tiada jambatan di dunia yang mampu menahan tanah runtuh sebesar ini," kata seorang lagu pengguna media sosial. — Agensi 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram