SEKURANG-KURANGNYA 22 orang cedera selepas satu letupan kuat menggegarkan kawasan perindustrian di Ezeiza, Buenos Aires, Argentina pada Jumaat, sekali gus mencetuskan kebakaran besar menyelubungi kawasan itu dengan asap hitam tebal.
Letupan tersebut menghasilkan lajur asap hitam dan jingga setinggi kira-kira 500 meter yang dapat dilihat jelas di langit, manakala api marak menerangi kawasan sekitar, menurut wartawan AFP yang berada di lokasi kejadian.
Datuk Bandar Ezeiza, Gaston Granados menyifatkan situasi berkenaan sebagai amat dahsyat dengan beberapa fasiliti perindustrian terjejas.
BACA LAGI: Remaja bawa tujuh bahan letupan ke sekolah di Jakarta, 4 meletup
Rakaman televisyen turut memaparkan saat letupan berlaku serta asap pekat keluar dari kawasan perindustrian Spegazzini.
"Tingkap rumah saya dan kawasan sekitar turut pecah. Kami sedang memindahkan keluarga yang tinggal berhampiran kerana keadaan terlalu bahaya," katanya yang tinggal kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.
Menurut Pengarah sebuah klinik berhampiran, Dr Carlos Santoro, 22 pesakit telah dibawa mendapatkan rawatan, termasuk seorang mangsa yang mengalami serangan jantung serta seorang wanita hamil yang mengalami keracunan. Wanita itu kini dirawat di unit rawatan rapi.
Punca letupan masih belum dikenal pasti, dan usaha memadamkan kebakaran masih dijalankan.
Media tempatan melaporkan sekurang-kurangnya lima fasiliti terjejas dalam insiden yang berlaku berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Ezeiza.
Menurut Pengarah Pertahanan Awam wilayah Buenos Aires, Fabian Garcia, kawasan tersebut menempatkan pelbagai syarikat termasuk kilang tayar, syarikat bahan kimia serta gudang penyimpanan dokumen Iron Mountain.
"Ezeiza"
Por los videos de la explosion en Ezeiza #Ezeiza #explosionpic.twitter.com/wXiTB7uX1Q
— ¿Por qué es tendencia? Tendencias en Argentina (@TendenciaEnArgX) November 15, 2025
"Ini kebakaran yang sangat rumit dan besar," katanya sambil mengesahkan kebakaran bermula di sebuah syarikat logistik.
Imej dan video kebakaran dari pelbagai sudut telah tular di media sosial, memperlihatkan kepulan asap panjang menjulang ke udara.
Sebagai langkah keselamatan, salah satu lebuh raya menuju ke lokasi ditutup, manakala hampir 20 pasukan bomba dikerah ke kawasan terbabit.
Kerajaan wilayah Buenos Aires turut menggesa penduduk sekitar supaya kekal berada di rumah dengan pintu dan tingkap ditutup bagi mengelakkan pendedahan kepada asap yang berpotensi mengandungi bahan toksik.
Penduduk juga dinasihatkan mematikan pendingin hawa atau kipas yang menarik udara luar serta menjauhkan diri dengan segera jika terhidu asap, selain menutup hidung dan mulut menggunakan kain lembap sebagai langkah perlindungan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
