[VIDEO] 'Inilah sebab tak boleh berniaga di tepi jalan’, insiden peniaga nyaris dirempuh kereta buka mata ramai pihak risiko keselamatan


  • Massa
  • Ahad, 09 Nov 2025

Tangkap layar menunjukkan sebuah gerai di tepi jalan dirempuh oleh sebuah kenderaan.

TULAR di media sosial sebuah video memaparkan detik cemas dua peniaga jalanan yang hampir dirempuh sebuah kereta ketika sedang berniaga di tepi jalan.

Menerusi perkongsian video berdurasi 50 saat yang dimuat naik oleh akaun Boleh Viral di laman Facebook, kelihatan dua individu dipercayai peniaga tepi jalan sedang berniaga sebelum sebuah kereta secara tiba-tiba merempuh gerai bersebelahan menyebabkan gerai mereka turut terkena impak rempuhan tersebut.

Menurut peniaga terbabit, kejadian itu berlaku apabila sebuah kenderaan dipercayai melanggar lampu isyarat merah sebelum bertembung dengan kenderaan lain dan berpusing lalu merempuh kawasan gerai berhampiran.

BACA LAGI: Suami sewa rumah ‘berhantu’ selama 26 tahun demi mencari pembunuh isteri, suspek akhirnya serah diri

BACA LAGI: [VIDEO] Piala FA: Peluang terbaik The Rhinos tambah garam di luka Gergasi Merah

 

 

“Sebuah kenderaan telah melanggar lampu dan bertembung dengan kenderaan lain menyebabkan kereta tersebut berpusing dan rempuh gerai sebelah kami.

Alhamdulillah tiada kecederaan dan melibatkan nyawa, kami tak salahkan sesiapa. Kami terima dengan hati terbuka, ini ujian kami.

"Insya-ALLAH mana tahu,akan datang,ada rezeki atau nikmat Allah nak bagi. Allah sudah susun perjalanan kita,Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita,” katanya.

Rakaman itu turut menunjukkan peniaga berkenaan sempat merakam detik-detik sebelum kejadian sekali gus membuat ramai warga maya berasa cemas melihat situasi berbahaya itu.

Susulan kejadian tersebut, ramai warga maya tampil memberikan pandangan bahawa kejadian seperti itu menjadi peringatan tentang risiko berniaga di tepi jalan.

“Sebab itulah bahaya berniaga macam ini,” kata Suria Lala Lala.

“Inilah sebab Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tak bagi lesen berniaga di tepi jalan,” ujar Famie Illias pula.

“Ini punca utama majlis tak galakkan peniaga di tepi jalan, bahaya,” kata Meylis Sasa.

Video berkenaan kini mendapat ribuan tontonan dan perkongsian di pelbagai platform media sosial, dengan rata-rata ramai warga maya mendoakan keselamatan peniaga tersebut serta mengharapkan agar pihak berkuasa dapat menyediakan lokasi yang lebih selamat untuk golongan peniaga kecil. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram