[VIDEO] Guna daun, kertas tutup plat kenderaan, penunggang motosikal negara jiran kreatif elak jadi mangsa tersalah sasar 'Tilang Elektronik'


  • Benua
  • Sabtu, 11 Okt 2025

Pemilik motosikal di Indonesia pada ketika ini dilihat mengambil langkah luar biasa apabila menutup nombor plat kenderaan masing-masing bagi mengelak daripada dikesan kamera ETLE. — Agensi

PENUNGGANG motosikal di Indonesia pada ketika ini dilihat mengambil langkah luar biasa apabila menutup nombor plat kenderaan masing-masing bagi mengelak daripada dikesan kamera Sistem Tilang Elektronik (ETLE).

Untuk makluman, sistem ETLE merupakan satu inisiatif baharu penguatkuasaan undang-undang lalu lintas di Indonesia dan dilaksanakan pada awal Januari tahun ini.

Kerajaan di negara tersebut menggunakan kamera pengawasan yang disambungkan dengan sistem kawalan milik pihak polis dan sebarang pelanggaran lalu lintas dapat dikesan secara automatik dan dijadikan bukti untuk tindakan saman tanpa memerlukan kehadiran fizikal anggota polis di lapangan.

BACA LAGI: Sebanyak 22 juta rakyat dewasa bakal nikmati SARA RM100 Februari depan

BACA LAGI: 'Terkedu solat Jumaat kena potong gaji', pekerja dakwa majikan di Johor abaikan garis panduan JTK, ingin letak jawatan

Namun begitu, ada dalam kalangan rakyat tempatan mendakwa mereka disaman tanpa melakukan sebarang kesalahan jalan raya.

Tindakan itu tular selepas satu video dimuat naik di akaun Instagram @siran_sikaoskuning, memaparkan beberapa motosikal termasuk milik penghantar makanan dan pemandu e-hailing yang menutup nombor plat menggunakan daun, kertas, pita pelekat dan ada juga yang dicat menyerupai warna asal plat.

Video berkenaan turut disertakan kapsyen “Jakarta pada ditutup plat gaes” bersama #TilangElektronik.

 

 

 

 

Tinjauan Kompas.com di beberapa stesen minyak sekitar Jakarta Pusat termasuk di kawasan Stesen Gondangdia, Cikini dan Juanda mendapati keadaan sama apabila ada penunggang motosikal menutup plat depan dan belakang dengan pelbagai cara.

Seorang pemandu e-hailing, Murdianto, 40, mengakui dia turut berbuat demikian selepas pernah dikenakan saman elektronik walaupun mendakwa tidak melakukan sebarang kesalahan.

“Kadang kita tak langgar undang-undang, tapi sistem ETLE tersalah tangkap gambar. Lebih baik tutup nombor pendaftaran (plat) daripada kena saman secara salah,” katanya ketika ditemui di Stesen Gondangdia, Jakarta.

Menurutnya, dia pernah dikenakan saman apabila kamera CCTV menunjukkan penumpangnya tidak memakai topi keledar, sedangkan penumpang itu sebenarnya memakai tetapi terlindung oleh badannya.

Seorang lagi penunggang, Imam, 32, yang ditemui di stesen minyak Juanda berkata, dia meniru tindakan rakan-rakannya selepas bimbang dikenakan saman elektronik.

“Awalnya nampak kawan-kawan tutup plat, saya ikut sebab takut kena ETLE. Saya cuma tutup bahagian belakang dengan cat hitam supaya tak ketara,” katanya.

Sementara itu, seorang wanita, Sari, 28, pula menutup plat motornya dengan sekeping kertas di kawasan Menteng.

“Awalnya risau kalau jumpa polis, tapi saya fikir lebih baik tutup daripada kena saman yang tak jelas. Ini saya buat sendiri, bukan sebab ikut orang lain,” katanya.

Fenomena menutup nombor plat ini kini semakin ketara di kawasan pusat bandar susulan penguatkuasaan ketat sistem saman elektronik oleh pihak berkuasa lalu lintas Jakarta. — Agensi 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram