Sabah, Sarawak terima peruntukan pembangunan tertinggi Belanjawan MADANI 2026


  • Massa
  • Jumaat, 10 Okt 2025

Untuk tahun ini, peruntukan pembangunan Sabah melonjak kepada RM6.9 bilion berbanding RM4.4 bilion pada 2022, manakala Sarawak turut meningkat kepada RM6 bilion berbanding RM2.9 bilion pada tempoh sama

KERAJAAN MADANI di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan komitmen luar biasa terhadap Sabah dan Sarawak apabila memperuntukkan lebih RM48 bilion bagi mempercepatkan pembangunan di kedua-dua negeri itu, selaras semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Perdana Menteri berkata, tumpuan besar kali ini membuktikan kerajaan bukan sekadar berjanji, sebaliknya melaksanakan tindakan nyata bagi memastikan jurang pembangunan dengan Semenanjung terus dirapatkan, khususnya dalam sektor prasarana asas.

“Kerajaan MADANI tidak mahu Sabah dan Sarawak ketinggalan. Pembangunan mesti seimbang di seluruh negara.

BACA LAGI: STR Fasa 4 diawalkan, tol diskaun 50 peratus sempena Deepavali

BACA LAGI: Sebanyak 22 juta rakyat dewasa bakal nikmati SARA RM100 Februari depan

"Sabah dan Sarawak kini menerima peruntukan pembangunan Persekutuan tertinggi dan untuk tahun ini, peruntukan pembangunan Sabah melonjak kepada RM6.9 bilion berbanding RM4.4 bilion pada 2022, manakala Sarawak turut meningkat kepada RM6 bilion berbanding RM2.9 bilion pada tempoh sama.

"Kadar Pemberian Khas kepada kedua-dua negeri itu turut digandakan kepada RM600 juta, berbanding RM300 juta tahun lalu, satu peningkatan besar yang menunjukkan kesungguhan kerajaan menghormati hak dan kepentingan wilayah Borneo," katanya ketika membentangkan Belanjawan MADANI 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Datuk Seri Anwar Ibrahim

Selain itu, kerajaan menyalurkan RM1.2 bilion bagi menjamin kelangsungan bekalan elektrik di Sabah serta RM1 bilion bagi projek air termasuk pemasangan paip baharu di Tawau dan naik taraf sistem di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan.

Anwar berkata, sembilan pakej Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak dan empat pakej Pan Borneo Sabah Fasa 1A telah siap, manakala RM1.67 bilion diperuntukkan bagi memastikan projek Pan Borneo Sabah diteruskan mengikut jadual.

Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) dan Lebuh Raya Trans Borneo (LTB) turut dilaksanakan secara berperingkat dengan keseluruhan kos pembangunan mencecah RM48 bilion.

Dalam masa sama, kerajaan melaksanakan projek Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) bernilai RM2 bilion bagi menghubungkan Johor, Sarawak dan Sabah, selain memperuntukkan RM20 juta untuk menaik taraf tapak niaga Tamu Desa bagi membantu peniaga kecil di kedua-dua negeri itu.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram