
PENDUDUK sebuah kampung terpencil di daerah Munger dekat Bihar, India kini dilanda kebimbangan apabila ramai meninggal dunia pada usia muda akibat penyakit misteri yang belum dikenal pasti.
Kampung Doodh Paniya yang dihuni kira-kira 250 orang kini digelar ‘kampung kematian awal’ kerana majoriti penduduknya sukar hidup melebihi umur 40 tahun.
Ramai antara mereka lumpuh separuh badan, tidak mampu berjalan dan hanya terlantar di rumah tanpa rawatan sewajarnya.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Hanya bayar RM100', pemandu dipercayai mabuk dakwa 'suap' polis elak ditahan
Vinod Besra, 56, merupakan antara penduduk tertua yang masih hidup tetapi sudah tidak mampu bergerak sejak 2019.
Lebih menyedihkan, isterinya Purni Devi, 43, serta dua anak mereka, Lalita Kumari, 27, dan Philips Kumar, 19, turut menunjukkan simptom sama iaitu kaki dan belakang badan semakin lemah serta membongkok.
“Anak perempuan saya sudah kelihatan seperti wanita berusia. Kami hanya mahu hidup sihat semula,” kata Purni dengan nada sebak.
Kampung Doodh Paniya yang dihuni kira-kira 250 orang kini digelar ‘kampung kematian awal’ kerana majoriti penduduknya sukar hidup melebihi umur 40 tahun. — Agensi
Dalam tempoh setahun, sekurang-kurangnya empat penduduk berusia antara 30 hingga 55 tahun telah meninggal dunia akibat penyakit berkenaan.
Pegawai perubatan, Dr Subodh Kumar dari Hospital Sub-Daerah Haveli Kharagpur berkata, siasatan awal mendapati penyakit itu berkemungkinan berpunca daripada kekurangan mineral atau air tercemar.
“Kami akan jalankan ujian air serta pemeriksaan lanjut dengan pakar ortopedik dan bedah saraf,” katanya ketika ditemui media tempatan.
Pegawai Daerah Kecil Haveli Kharagpur, Rajeev Roushan pula memaklumkan ujian air bawah tanah sedang dijalankan, manakala doktor mengesyaki simptom yang dialami menyerupai osteoporosis.
Menurutnya, kerajaan akan menubuhkan pasukan khas bagi memastikan punca sebenar penyakit misteri itu dikenal pasti segera.
Bada Durga yang berusia 62 tahun merupakan salah seorang warga emas yang masih hidup di Kampung Doodh Paniy. — Agensi
Sementara itu, penduduk kampung berkata mereka kini hilang harapan dan hanya mahu penyelesaian segera selepas ramai ahli keluarga lumpuh dan meninggal dunia.
“Kami tidak minta pekerjaan, kami cuma mahu air diuji dan penyakit ini dirawat,” kata penduduk, Pinky Devi dan Munna Besra.
Pekerja sosial tempatan, Sanjay Kumar berkata penyakit itu telah menghantui kampung berkenaan sejak 15 tahun lalu dan kini makin memburuk.
“Simptom bermula dengan sakit kaki, kemudian menjalar ke belakang, sebelum seluruh tubuh tidak berfungsi dan akhirnya pesakit meninggal dunia,” jelasnya.
Penduduk kini hanya berharap kerajaan segera mengadakan kem perubatan dan menyiasat punca sebenar sebelum seluruh kampung pupus perlahan-lahan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram