Bau busuk masih tak hilang lepas dibasuh jiran, cecair merah bongkar penemuan mayat 2 beranak di Singapura


  • Benua
  • Selasa, 07 Okt 2025

Mayat anak perempuan berada di sekitar ruang tamu sementara mayat bapanya yang mereput berada dalam bilik tidur.

CECAIR merah yang menitik dalam sebuah unit perumahan di flat Sengkang, Singapura pada Isnin membawa kepada penemuan dua mayat milik bapa dan anak perempuan.

Mayat lelaki berkenaan dilaporkan sudah mereput dan ditemukan dalam bilik tidur sementara mayat milik wanita berkenaan berada sekitar kawasan ruang tamu kediaman itu.

Penemuan dibuat selepas jiran yang berada di bawah unit tersebut menyedari terdapat titisan cecair merah berbau busuk kerap menitik selain kelihatan tompokan di siling.

BACA LAGI: Terima 80 peratus klien dari Singapura, jurufoto dan jurusolek tempatan terjejas banyak 'job' kena batal

BACA LAGI: Polis rakam keterangan anak Pamela Ling di Singapura, dedah masih berhubung pada hari kejadian

Titisan darah (bulatan merah) yang menitik ke rumah jiran di bawah unit flat tersebut.

Jiran yang merupakan wanita berusia 70 itu kemudian meminta bantuan anak lelakinya untuk membersihkan rumahnya selepas tidak tahan dengan bau berkenaan.

Anak kepada warga emas itu memberitahu bahawa selepas pembersihan dibuat, bau di rumah tersebut masih tidak hilang yang kemudian membuatkannya menelefon pihak polis.

Siasatan kemudian mendapati bau busuk dan cecair merah itu adalah disebabkan darah milik mayat dua beranak berkenaan yang masih belum dipastikan punca kematian.

Seorang lagi jiran yang tinggal di tingkat sama dengan rumah terbabit turut berkata, dua beranak itu tinggal bersama-sama selepas isteri lelaki terbabit dipercayai meninggal dunia.

Polis membawa mayat bapa dan anak perempuan itu untuk dibedah siasat.

Malah, jelasnya, pasangan bapa dan anak perempuan itu jarang meluangkan masa bersama jiran, terutamanya lelaki tersebut yang lebih gemar mendiamkan diri.

Lelaki tersebut difahamkan kerap memakai seluar pendek, topeng muka dan topi setiap kali keluar rumah untuk membeli keperluan asas seperti beras.

"Saya pernah menyapanya sebelum ini, tetapi dia hanya mengendahkan saya. Kali terakhir kami terserempak adalah pada Julai dan kali terakhir saya nampak anak perempuannya adalah semasa perayaan Tahun Baru Cina tahun ini," kata jiran tersebut.

Laporan terkini mendapati mayat wanita tersebut sudah berusia 47 tahun, namun usia lelaki terbabit belum dapat dipastikan dengan siasatan masih berjalan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram